KLANG: Tindakan sitaan, batal premis dan lesen akan diambil ke atas mana-mana individu yang menyewakan premis kepada warga asing termasuk di Pasar Besar Meru, di sini.
Pengarah Pengurusan Pasar dan Penjaja Majlis Perbandaran Klang (MPK), Azhar Samsudin berkata, setiap peniaga perlu mematuhi syarat dan akan mengeluarkan amaran batal lesen kepada peniaga yang ingkar dan perlu menjawabnya dalam tempoh tujuh hari.
“MPK akan mengambil tindakan sitaan serta merta dan pembatalan premis dan lesen akan dilakukan ke atas penyewa yang menyewakan premis kepada warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 1 Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan penguatkuasaan lemah didakwa menjadi faktor utama lambakan warga asing yang kini menguasai ekonomi negara seperti menjadi penjaja di ibu negara dan negeri lain.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman mendakwa, ini kerana kelibat warga asing menjalankan perniagaan di kawasan bandar dan pekan di seluruh negara disifatkan sudah menjadi ‘kebiasaan’.
Tinjauan mendapati warga asing dari Bangladesh dan Myanmar di daerah ini dipercayai sanggup membayar sewaan premis sehingga lebih RM5,000 sebulan bagi mengusahakan perniagaan mereka yang rata-ratanya menjual sayur, barang runcit serta makanan di kedai sewaan tersebut.
Jelas Azhar, MPK turut membuat bancian dan mengenal pasti peniaga di Pasar Besar Meru.
“Hasil bancian itu mendapati semua pemegang lesen adalah warga tempatan manakala warga asing yang berada di premis berkenaan adalah pembantu.
“Kita mensyaratkan hanya warga negara layak memohon premis dengan menjalankan proses penyewaan melalui iklan dan proses temuduga,” ujarnya. – UTUSAN