MELAKA: Isu kekurangan guru terutama dalam mata pelajaran kritikal ditangani secara serius bermula tahun ini, melalui pemerkasaan pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kaedah lebih strategik dalam urusan pengambilan guru baharu diperkenalkan termasuklah mempertingkat sinergi dan kerjasama strategik dengan pihak berkuasa melantik serta agensi pusat berkaitan.
Jelasnya, beberapa pendekatan telah dipersetujui dan akan dilaksanakan termasuk perluasan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru.
Ujarnya, pengambilan juga diperluaskan kepada siswazah berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara, khusus bagi mata pelajaran kritikal dan sukar mendapat calon universiti awam (UA) seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Reka Bentuk dan Teknologi serta Pendidikan Islam.
“Sekiranya pelbagai kaedah strategik yang dilaksanakan masih gagal memenuhi kekosongan maka pelantikan guru secara contract of service (CoS) dalam kalangan siswazah yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan juga akan dilaksanakan.
“Guru-guru lantikan CoS ini akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang sesuai melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan selama setahun sebelum dilantik tetap oleh SPP.
“KPM dan SPP akan sentiasa mengenal pasti pendekatan strategik lain dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kualiti dan kompetensi guru baharu,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini, hari ini.
Inisiatif itu merupakan antara 10 berita baik yang diumumkan Fadhlina bagi menambah baik dan memperkasa kebajikan guru.
Turut diumumkan adalah penambahbaikan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 5/2002: Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan, perluasan sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan 10 lagi sekolah dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan orang asli dan perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke Sabah.
Fadhlina turut mengumumkan kebenaran dan kelonggaran pemakaian baju korporat rasmi KPM sewaktu bertugas, pemansuhan kutipan sumbangan Hari Guru dan mempertingkat peranan kumpulan Guru Insani Malaysia.
Selain itu, beliau turut menyentuh berkenaan mempertingkat peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dalam meningkatkan profesionalisme dan menjaga kebajikan guru, penambahbaikan Standard Guru Malaysia 2.0 (SGM 2.0) serta Program Cuti-cuti Cikgu mampu milik.
Mengulas tentang SGM 2.0, Fadhlina berkata, para guru bakal mendapat peluang mempertingkatkan kerjaya ke jawatan lebih tinggi melalui latihan yang berfokus dan relevan untuk mempersiapkan diri sebagai pemimpin pelapis dalam laluan yang lebih luas, sesuai dengan kekuatan, bakat dan pilihannya sendiri.
“KPM sentiasa menggalakkan dan menyokong usaha guru untuk membangunkan profesionalisme keguruan melalui pelbagai aktiviti pembangunan profesionalisme berterusan.
“Penyertaan guru dalam SGM 2.0 melalui Sistem Guru Malaysia (SGMy) diiktiraf dan dianugerahkan mata kredit dalam Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM),” jelasnya. – UTUSAN