Sindiket judi online tumpas, 7 individu ditahan - Utusan Malaysia

Sindiket judi online tumpas, 7 individu ditahan

KHAW Kok Chin (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas daripada sindiket judi online yang ditumpaskan polis dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di George Town, hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan sindiket judi dalam talian selepas menyerbu tiga lokasi berasingan di Bayan Baru; Butterworth dan Perai, dekat sini, pada Jumaat hingga Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi itu, polis turut menahan tujuh individu tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun kerana dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan.

”Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam, Jumaat lalu, lima anggota sindiket iaitu empat lelaki dan seorang wanita ditahan di sebuah kondominum di Bayan Baru yang dijadikan ‘calling centre’ sindiket judi berkenaan.

“Di premis ini polis merampas pelbagai peralatan antaranya komputer yang disyaki digunakan untuk operasi sindiket.

“Susulan penahanan suspek-suspek ini, polis menyerbu sebuah lagi premis berhampiran kondominium berkenaan pada Sabtu lalu, namun premis ini tidak berpenghuni,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, pada Sabtu lalu juga iaitu kira-kira pukul 11 malam, polis menahan seorang lelaki warga tempatan di Butterworth sebelum seorang lagi suspek lelaki ditahan di Perai Ahad lalu, kira-kira pukul 7.30 malam.

Menerusi siasatan, ujar beliau, sindiket judi online itu didapati beroperasi kira-kira sebulan lalu dan mampu meraih pendapatan RM100,000 sehari dan boleh mencecah RM3 juta sebulan.

”Suspek yang ditahan bertindak sebagai operator ‘calling centre’ dan sindiket ini menggunakan aplikasi seperti Telegram, WeChat dan WhatsApp untuk mempromosi pelbagai permainan perjudian secara online menggunakan telefon.

”Kita dapati akaun bank sindiket ini didaftarkan menggunakan nama suspek yang ditahan di Butterworth dan polis percaya terdapat tiga individu yang dipercayai menjadi ketua sindiket ini masih bebas dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan mereka,” katanya.

Tambah beliau, transaksi antara pelanggan dan sindiket dipercayai menggunakan beberapa akaun bank di dalam dan luar negara, malah operasi sindiket itu turut melibatkan pelanggan di negara jiran.

“Kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan sindiket itu antaranya 34 buah telefon bimbit; lima keping kad rumah; wang tunai RM15,200; 10 buah komputer pelbagai jenama; lima buah kereta pelbagai jenama; empat buah motosikal dan banyak lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya