Sindiket jual kasut tiruan RM800,000 dalam talian tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket jual kasut tiruan RM800,000 dalam talian tumpas

Kasut tiruan
MOHD Khairi Jamaludin (kiri) menunjukkan kasut tiruan yang dirampas pihak di Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kegiatan haram satu sindiket menjual kasut tiruan berjenama secara dalam talian sejak setahun lalu tumpas apabila digempur pihak berkuasa di Taman Sejati di sini, hari ini. 

Ribuan kasut yang diimport dari luar negara itu disimpan di stor rumah kedai disewa sindiket berkenaan sebelum menjualnya menerusi media sosial.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar selepas diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan membawa kepada rampasan kasut berjumlah RM800,000, kira-kira pukul 1 petang tadi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan pihaknya selama sebulan dan aduan awam mengenai aktiviti mencurigakan tersebut.

“Ketika serbuan penguatkuasa terpaksa memecahkan pintu di tingkat atas premis berkenaan yang dijaga seorang lelaki berusia 31 tahun.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui kira-kira 4,000 kasut tiruan pelbagai jenama yang melanggari peruntukan Akta Cap Dagangan 2019. Lelaki tenpatan itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan itu.

Jelas Mohd.Khairi, serbuan itu melibatkan nilai rampasan kedua terbesar pihaknya tahun ini.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu barang cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Tambah beliau, semua kasut berkenaan dipercayai dijual dengan harga antara RM180 hingga RM400 sepasang di seluruh negara.

“Selain itu, kita akan menyiasat sama ada sindiket mempunyai rangkaian lain dan memeriksa pemilik yang menyewakan premis tersebut. Siasatan lanjut akan dijalankan secara menyeluruh dan semua rampasan dibawa ke Stor Eksibit KPDN Selangor bagi tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya