KUCHING: Cadangan Rang Undang-undang (RUU) bagi penubuhan Majlis Kraftangan Sarawak (SCC) 2023 sebagai badan berkuasa mengawal selia dan pembangunan hal ehwal berkaitan kraf diluluskan sebulat suara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Terdahulu RUU bagi Majlis Kraftangan Sarawak (SCC) 2023 itu dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Abdul Karim berkata, RUU itu penting sebagai mengiktiraf SCC salah satu organisasi peneraju yang bertanggungjawab dalam membawa kejayaan pembangunan industri kraf Sarawak.
Dalam ucapan penggulungannya, Abdul Karim memberi jaminan bahawa SCC akan merangkumi seni dan kraf semua etnik di Sarawak dan memberi keyakinan tidak berat sebelah kepada mana-mana kaum di negeri itu.
“Ia akan merangkumi, menjaga semua berhubung kait kepada seni dan kraf etnik (di Sarawak). Jadi ia bukan hanya untuk orang Melayu sahaja. Malah bukan sahaja memelihara seni dan kraf Dayak, atau Cina, mahupun suku kaum Orang Ulu.
“Kita juga akan memastikan mereka yang diberikan tanggungjawab menggalas dalam organisasi majlis tersebut menunjukkan minat terhadap seni dan kraf serta memastikan semua rakyat Sarawak dapat berkembang maju dalam industri ini,” jelasnya.
Terdahulu dalam ucapan di persidangan DUN Sarawak, Karim menjelaskan bahawa objektif penubuhan Majlis Kraftangan Sarawak (SCC) 2023 merupakan satu entiti jawatankuasa yang boleh membuat pengawalseliaan dan pembangunan kraf.
“SCC bertujuan untuk memperkasakan dan melibatkan komuniti tempatan, khususnya tukang dan pengamal kraf, dalam proses membuat keputusan yang berkaitan dengan pembangunan dan mempromosikan kraftangan di negeri ini.
“Ini akan memastikan suara pihak pemain industri mendapati kepentingan dari pihak berkuasa tempatan dan diwakili dengan berkesan, pada masa yang sama memupuk rasa pemilikan dan kebanggaan terhadap warisan kraf Sarawak,” katanya.
SCC akan mempunyai fleksibiliti untuk membangun dan melaksanakan strategi serta inisiatif yang khusus disesuaikan dengan keperluan dan potensi industri kraf Sarawak; untuk membolehkan intervensi yang disasarkan dalam menangani cabaran dan peluang yang unik dalam sektor kraf Sarawak.
Menurut Karim lagi, SCC akan menggariskan strategi untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kemampanan industri kraf Sarawak, termasuk memupuk keusahawanan, menambah baik akses pasaran, dan meningkatkan rantaian nilai.
Di samping itu, SCC akan diberi mandat untuk membangun dan melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan pelancongan kraf, seperti mempromosikan acara kebudayaan berasaskan kraf, mewujudkan laluan kraf, dan mewujudkan platform pemasaran. –utusan
“Ini akan menyumbang kepada sektor pelancongan Sarawak dan menjana pendapatan dalam kalangan artisan dan usahawan kraf tempatan,” jelasnya.
Justeru itu penting untuk mengiktirafkan SCC sebagai organisasi peneraju yang bertanggungjawab dalam usaha membawa pembangunan dalam industri kraf di Sarawak, katanya.
“Ia merupakan satu keperluan dan harapan dalam industri ini untuk mempunyai pihak berkepentingan, orang ramai dan kerajaan menyebabkan keperluan untuk merasmikan SCC menjadi sebuah badan dengan rangka kerja undang-undang melalui Rang Undang-undang SCC 2023.
“Kami percaya bahawa SCC akan menjadi pemboleh utama dalam merealisasikan potensi penuh industri kraf Sarawak dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi keseluruhan negeri.
“Disebabkan peranannya yang unik dan saling melengkapi kepada Kraftangan Malaysia, SCC hanya akan memberi tumpuan khusus kepada keperluan dan aspirasi industri kraf Sarawak,” katanya.
Karim turut mendedahkan SCC akan mengutamakan penyelidikan, inovasi dan pembangunan produk untuk meningkatkan kualiti, reka bentuk dan daya saing produk kraf Sarawak bagi memenuhi permintaan pasaran yang berubah-ubah dan meningkatkan potensi menjana pendapatan mereka.
Ia juga akan menekankan kepentingan pemuliharaan dan amalan mampan dalam industri kraf Sarawak, termasuk menggunakan bahan mesra alam, menggalakkan amalan perdagangan adil, dan menyokong kaedah pengeluaran mampan.
“SCC akan memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kepentingan industri kraf Sarawak di pelbagai forum dasar dan melibatkan diri dalam inisiatif pembangunan dasar; untuk memastikan bahawa suara industri kraf didengar dan dipertimbangkan dalam keputusan dasar, yang membawa kepada persekitaran operasi yang menggalakkan.
“SCC akan bertindak sebagai titik fokus untuk penyelarasan dan kerjasama di kalangan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem kraf, termasuk artisan, usahawan kraf, agensi kerajaan, persatuan industri, ahli akademik dan organisasi masyarakat sivil,” tambahnya.