Setiap tahun saya hantar album untuk pencalonan Grammy - Yuna - Utusan Malaysia

Setiap tahun saya hantar album untuk pencalonan Grammy – Yuna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA album Masih Yuna adalah cuaca, ia akan menjelma sebagai gerimis. Ada kesyahduan, dingin dan kesedihan yang mengajak kita larut dalam perasaan.

Pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai mempersembahkan lagunya dengan gabungan irama folk, akustik, elektronik dan melankolik yang bergema harmoni di hujung telinga selepas hiatusnya tujuh tahun menuliskan album bahasa Malaysia.

Yuna, dengan cara paling sederhana membuktikan kepada semua bahawa julat bakat muziknya telah berkembang besar di Amerika Syarikat (AS).

Namun, jika kita perhatikan jauh lebih dalam, Yuna secara berterusan membahaskan kehilangan dan kerinduan dalam keempat-empat lagunya iaitu Menanti, Masih Sunyi, Asing dan Camaraderie.

Timbul persoalan di benak penulis, apakah yang sedang berlaku kepada Yuna di tahun-tahunnya berada jauh dari rumah?

Apa dipendam oleh anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini hingga suara kecilnya di dalam lagu kedengaran sangat bergelora?

Yuna setuju ditemuramah, menyisakan beberapa minit kepada Pancaindera dalam kesibukannya. Syukurlah, Yuna memang bakat yang perlu diraikan.

“Sepanjang 15 tahun di dalam industri seni, saya memang banyak memendam. Saya kumpul semua perasaan itu. Bila akhirnya saya berada di suatu momen yang tepat iaitu ketika menghasilkan album ini, saya keluarkan semuanya.

Menanti menceritakan tentang sepupu dan rakan baik, Amy yang sudah pergi buat selamanya. Masih Sunyi tentang cinta tak kesampaian yang pernah saya lalui, Asing dan Camaraderie pula menceritakan pengalaman dahulunya mempunyai kawan di dalam industri, kini kami tidak lagi sehaluan. Saya menulis ikhlas daripada hati saya,” akuinya.

Tidak semberono menghasilkan Masih Yuna, setiap susunan muzik dirancang teliti dengan bantuan rakan-rakan pemuzik termasuk penerbit, pengatur biola, dan pemain cello dari Jerman dan AS.

Yuna mahu memberikan yang terbaik sekali gus menonjolkan kemahirannya menghasilkan lagu selama 10 tahun di negara orang buat peminatnya di Malaysia.

“Untuk lagu Camaraderie, tiada penerbit yang lapang pada waktu itu. Jadi, saya ambil keputusan terbitkan lagu itu sendiri. Saya rakam piano dan hasilkan mixing sendiri. Saya berpuas hati untuk projek ini,” dedahnya.

Dikata lupa diri?

SEPANJANG berada di AS, Yuna jarang sekali menulis lagu dalam bahasa Melayu. Fokus banyak diberikan bagi mempertajam kemahiran seni menulis lirik dalam bahasa Inggeris.

Usaha Yuna disalah anggap. Dia dituduh sudah tidak mahu mengenang akar umbi dan semakin lupa diri.

“Sepanjang saya berada di AS, ada beranggapan saya tidak mahu lagi tulis lagu dalam bahasa Melayu, sudah lupa peminat Malaysia dan dikatakan sudah lupa diri.

“Mungkin mereka tidak mengetahui perkembangan muzik saya di AS. Saya rasa, sesedap mana pun lagu Inggeris yang saya hasilkan, ia tetap tak akan sampai kepada pengetahuan peminat Malaysia.

“Mungkin mereka rasa semakin jauh daripada saya. Jadi dengan kelahiran Masih Yuna ini, saya harap peminat faham yang saya tidak pernah melupakan mereka,” kata Yuna.

Yuna yang pernah disenarai pendek untuk pencalonan Anugerah Oscar bagi lagu asal terbaik pada 2016 tidak pernah meninggalkan identitinya sebagai rakyat Malaysia.

Semua itu diterjemahkan melalui lagu-lagu pernah dihasilkan, cara kerja dan nilai moral yang menjadi prinsipnya.

“Suami saya selalu cakap, saya adalah wanita ‘paling Malaysia’ yang dia pernah jumpa. Sepanjang di Amerika, saya selalu bercerita tentang tanah kelahiran saya, tempat saya membesar dan betapa indahnya Malaysia kepada rakan-rakan di sana,” katanya.

Pernah bekerja dan berkolaborasi dengan ramai pemuzik di AS seperti Kenny Macartney, Andy Studer, Davey Donaldson dan Pierre Jamerson, Yuna mengakui sering mendapat pujian muzik yang dibawanya berbeza serta mempunyai sentuhan istimewa.

Jawapan Yuna mudah, muziknya datang daripada unsur kemelayuan seperti syair Melayu yang sudah didengarinya sejak kecil.

“Mereka tanya apa yang menjadi inspirasi muzik saya. Jawapan saya adalah zaman kanak-kanak di Malaysia dan lagu seperti syair yang sudah diperdengarkan kepada saya sejak kecil,” katanya.

Adakalanya Yuna merasakan muziknya tidak cukup Amerika. Di sisi lain, muziknya juga dianggap tidak cukup Melayu untuk diperdengarkan kepada rakyat Malaysia. Yuna terperangkap.

“Saya pernah perdengarkan lagu saya kepada seorang rakan yang juga bekerja dalam industri muzik Malaysia. Dia sendiri cakap mungkin lagu-lagu saya khususnya Menanti tidak akan meletup di radio. Begitu juga dengan seorang rakan saya yang bekerja di radio. Katanya lagu saya sedap, tapi ia tidak pop dan mungkin sukar untuk diterima.

“Saya faham dan okey sahaja. Niat saya adalah untuk terus menghasilkan lagu dan itu sudah cukup buat saya gembira. Tapi bila album Masih Yuna keluar, ramai yang berkongsi perasaan positif terhadap lagu-lagu saya, sudah tentu sahaja teruja,” katanya.

Bukan tidak laku

KETIKA muncul cakap-cakap bahawa album bahasa Melayu dihasilkannya sekadar membeli hati peminat Malaysia kerana sudah tidak laku di AS, Yuna ketawa.

Ketika tuduhan itu timbul, Yuna sebenarnya sedang rancak mengejar mimpi besarnya untuk tercalon di Anugerah Grammy.

Bertahun-tahun rupanya dia berusaha menghantar penyertaan bermula daripada album Nocturnal yang terbit pada 2013.

Selain pernah disenarai antara 10 album R&B Terbaik oleh pengkritik Billboard, Gail Mitchell menerusi album Chapters pada 2016, Yuna turut mendapat pengiktirafan Recording Industry Association of America (RIAA) untuk lagu Crush bersama-sama penyanyi Usher.

“Mimpi besar adalah untuk tercalon Anugerah Grammy. Peminat tak tahu setiap tahun saya hantar pencalonan untuk Grammy sejak album Nocturnal. Cuma belum ada rezeki.

“Tercalon sahaja pun cukuplah, itupun pencapaian sangat tinggi bagi saya. Jika ada rezeki menang, Alhamdulillah. Namun pada masa sama, saya juga harus meraikan kejayaan lain seperti dapat pengiktirafan RIAA yang merupakan sesuatu yang besar dan sukar diperoleh pemuzik di AS.

“Apapun, mana tahu, ada rezeki saya tercalon Anugerah Grammy. Sekarang, itulah mimpi terbesar saya,” katanya menutup temu ramah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya