KUALA LUMPUR: Kementerian Luar akan terus melibatkan Kementerian Belia dan Sukan dan kementerian-kementerian lain dalam usaha meningkatkan dan mengukuhkan diplomasi serta inisiatif pendidikan sukan dalam kalangan golongan muda di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, melalui pendekatan itu, kerajaan boleh membina negara yang lebih aman dan makmur untuk masa hadapan generasi.
Katanya, salah satu inisiatif itu ialah melalui program Sports in Enhancing and Promoting Authentic Diversity for Unity (SEPADU) yang dianjur oleh Kedutaan Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, dengan membawa duta atlet dari negara itu.
“Saya melihat diplomasi sukan SEPADU sebagai usaha proaktif untuk menunjukkan kepentingan sukan seperti bola keranjang kepada golongan muda kerana ia membantu memupuk kemahiran sosial seperti kerja berpasukan, kepercayaan dan saling menghormati.
“Dengan melibatkan diri dalam sukan, orang muda dapat mengembangkan rasa tujuan dan saluran yang sihat untuk tenaga mereka, seterusnya memastikan mereka fokus pada usaha positif dan bukannya menggunakan keganasan, pencerobohan atau kemudaratan lain untuk mencapai matlamat mereka.
“Oleh itu, saya berharap aktiviti dirancang seperti klinik sukan bola keranjang, ceramah dan sesi penglibatan komuniti akan memupuk golongan muda rakyat Malaysia supaya boleh menjadi contoh teladan yang positif sama seperti ikon sukan kegemaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), hari ini.
Hadir sama ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D. McFeeters dan Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Kementerian Luar Negeri, Datuk S. Ganeson.
SEPADU dianjur oleh Kedutaan Besar Amerika Syarikat ke Malaysia dengan kerjasama SEARCCT dengan menghantar tiga duta bola keranjang ke negara ini iaitu Chinny Nwagbo (Sports Envoy, Women’s National Basketball Association (WNBA)); Shane Christensen (Sports Envoy, Harlem Globetrotters) dan Cherelle George (Sports Envoy, Harlem Globetrotters).
Ketiga-tiga mereka akan melibatkan diri bersama golongan belia sepanjang minggu program itu. Para duta berkenaan akan mengetuai demonstrasi, klinik bola keranjang dan berucap di ibu negara dan Kota Kinabalu, Sabah.
Mereka akan akan menjalankan latihan dan perlawanan, pameran serta melibatkan diri dalam dialog dengan murid sekolah dan belia untuk menunjukkan bagaimana sukan boleh diguna sebagai saluran positif untuk belia yang berpotensi namun berisiko untuk mencari alternatif tingkah laku negatif. –utusan