DATIN Nora Shamsuddin bukan nama asing dalam industri perfileman dan drama tempatan.
Pelakon yang dilahirkan di Ipoh, Perak itu berjasa dan aktif dalam dunia lakonan dengan membintangi banyak filem dan drama.
Nora tidak menganggap pertalian darah dengan pelakon legenda, Allahyarham Ahmad Mahmud sebagai tiket untuk menjadi pelakon.
Tetap bekerja keras, anak kepada pegawai polis itu ketika berjinak-jinak dalam dunia lakonan sekitar empat dekad lalu bermula dengan peranan sampingan menerusi filem Potret Maria arahan Yassin Salleh.
“Saya bermula sebagai peragawati. Dari situ saya mula mengenali ramai artis.
“Pakcik saya, Ahmad Mahmud kemudian dapat watak kecil dalam lem Potret Maria.
“Dari situ kerjaya lakonan saya bermula dan kemudian berkembang, dari satu filem, ke filem yang lain,” katanya.
Bercerita kisah zaman kecilnya, Nora memaklumkan dia dibesarkan dalam keadaan sederhana.
Katanya, keluarganya bukan orang berharta dan bukan juga orang susah.
“Mak bapa tak pernah halang saya berlakon kerana mereka faham minat anak-anak.
“Saya bukan datang dari keluarga berada. Jarang dapat makan makanan sedap-sedap. Tapi kami tidaklah susah,” katanya yang berpindah dan menetap di Kuala Lumpur sejak usia lima tahun.
SIKIT PUNYA GILA
NORA menganggap pengalaman berlakon filem Sikit Punya Gila antara paling manis sepanjang karier sebagai pelakon.
Katanya, dia masih ingat betapa akrab hubungan sesama pelakon ketika itu yang ibarat ada pertalian keluarga.
“Saya gembira kerana selepas 43 tahun, lem itu masih ditayangkan sampai sekarang.
“Terlalu banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang penggambaran filem berkenaan.
“Pengalaman berlakon bersama pelakon lama seperti Allahyarham Ibrahim Pendek, Hamid Gurkha, Kuswadinata, Yusni Jaafar, Norlia Ghani tidak dapat saya lupakan. Kami rapat macam keluarga,” jelasnya.
Dalam masa sama, Nora juga mengenang semula keseronokan berlakon drama Naik Tangga Turun Tangga sekitar era 80-an.
“Penggambaran ketika itu dibuat di rumah seorang menteri. Ia berjalan empat bulan.
“Itu juga kenangan terindah buat saya. Masing-masing sebak ketika hari terakhir penggambaran,” jelasnya.
DITIPU BAYARAN
ANTARA pengalaman hitam dikongsi Nora sepanjang menjadi pelakon adalah ketika ditipu penerbit tidak bertanggungjawab.
Katanya, itu pengalaman yang mengajar tentang kepercayaan yang sepatutnya tidak dengan mudah diberikan kepada sesiapa sahaja.
“Agak sedih, bila ada yang menipu bayaran. Saya kerja keras cari duit. Ketika itu saya berlakon untuk drama yang ditayangkan untuk Cerekarama.
“Bila minta, ibarat pengemis dibuatnya. Ada yang dapat (bayaran), ada yang tidak.
“Apa pun saya halalkan sahaja sebab yang melakukan perkara itu sudah pun meninggal dunia,” katanya.
JUMPA IDOLA
TERUS berkongsi cerita, Nora ada memaklumkan betapa dia mengidolakan pelakon hebat, Allahyarham Neng Yatimah.
Katanya, dia bersyukur, sempat berjumpa dan berlakon bersama sebelum pelakon bertaraf legenda itu meninggal dunia.
“Saya sangat bertuah kerana dapat berlakon bersamanya dalam lem Mama Oh Mama pada tahun 1981.
“Begitu juga Allahyarham A. Rahim yang lakonannya sering saya tonton sejak kecil. Tak sangka, pelakon yang ketika saya kecil dianggap jahat kerana sering membawa watak antagonis, akhirnya berkongsi ruang lensa dengan saya.
“Dunia lakonan ini banyak perkara yang tak disangka-sangka. Antaranya, peluang berlakon dengan idola kita,” jelasnya.
FOKUS IBADAH
NORA ada menyuarakan rasa syukur kerana pada usia lebih enam dekad dia tidak diuji dengan penyakit berat.
Katanya, dia cukup bertuah kerana masih mampu berjalan dan aktif walaupun usia semakin bertambah.
“Masalah lutut, adalah. Yang lain, Alhamdulillah semua okey. Di usia begini, Allah tarik nikmat, satu persatu.
“Sekarang saya fokus kerja amal, adakala bantu rakan artis veteran yang ditimpa kesusahan atau sakit.
“Antaranya, dengan menganjurkan program berbuka puasa dan penyerahan sumbangan kepada artis veteran setiap bulan Ramadan,” katanya yang merancang menganjurkan program Nostalgia Aidil tri untuk mengumpulkan artis lama.
Selain itu, Nora yang juga mengusahakan syarikat produksi masih mengintai impian untuk menjayakan sebuah lem epik, Tun Perak.
“Buat masa ini ia terpaksa ditunda kerana masalah dana. Bukan kecil peruntukan yang diperlukan, sekitar RM15 juta.
“Tapi saya percaya rezeki ada. Buat masa ini biarlah saya buat drama televisyen sahaja dahulu,” tambahnya