PUTRAJAYA: Saban tahun, umat Islam di negara ini sering disarankan untuk menyemak kedudukan arah kiblat dari lokasi mereka tepat pukul 5.16 petang pada setiap 28 Mei.
Walau bagaimanapun, waktu tersebut sudah dilewatkan dua minit kepada 5.18 petang sejak tahun lepas dan turut disahkan pakar falak tanah air, Datuk Dr. Azhari Mohamed yang memberitahu, kiraan waktu itu berdasarkan penggunaan Almanak Falak Syarie Malaysia 2023 bagi rujukan peristiwa Istiwa A’dzam.
“Insiden ini yang lazim berulang pada 28 Mei dan 16 Julai memang dipakai pengkaji falak untuk menghitung zenith atau laluan kedudukan matahari tepat di atas Kaabah,” katanya.
Peristiwa unik itu kata Azhari yang juga ialah Penasihat Persatuan Falak Syarie Malaysia, menyaksikan zenith melintasi Kaabah pada sudut jam tempatan atau LHA adalah sifar.
Justeru, hitung nilai sudut jam Greenwich (GHA) meliputi antara meridian Greenwich dan matahari dengan LHA, yang merujuk meridian Kaabah, akan menunjuk masa sebenar.
Sehubungan itu, hasil kiraan apabila matahari transit ketika GHA menghasilkan waktu tepat Istiwa A’dzam pada 28 Mei ialah 5.18 petang manakala 16 Julai pula 5.27 petang.
Beliau turut bersetuju dengan paparan disiarkan laman interaktif zenith terkenal global, SunCalc yang menunjukkan matahari akan tegak tepat atas Kaabah pukul 12.18 tengah hari mengikut waktu tempatan di Arab Saudi pada Ahad ini.
Azhari turut mengajak umat Islam memperbetulkan kedudukan kiblat pada masa tersebut dengan menggunakan sebarang objek tegak untuk melihat arah bayang lurus matahari.
Garisan daripada imej bayang berkenaan, akan menunjukkan lokasi ke arah Kaabah dan seterusnya boleh ditanda sebagai panduan rujukan terutama untuk tujuan ibadah solat.
Kaedah Istiwa’ A’dzam dianggap antara cara alamiah berkesan bagi penentuan arah tepat kiblat dan sering digunakan umat Islam lebih 1,400 tahun dahulu sebelum kompas dicipta.
Ketika ini, terdapat pelbagai aplikasi moden dalam talian bagi merujuk arah Kaabah, tetapi kaedah canggih itu mungkin ada juga khilaf akibat kesan pengaruh paksi magnet bumi.
Implikasi ralat itu boleh mengakibatkan kedudukan kiblat tersasar kerana meskipun kecil perbezaan hanya satu darjah sebenarnya bersamaan dengan jarak sejauh 122 kilometer. – UTUSAN