IPOH: Selangor FC membuktikan kegagahannya apabila membaham Perak FC 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, sebentar tadi.
Begitupun kemenangan itu memang sudah dijangkakan memandang Perak FC terdiri daripada pemain ubi muda yang kurang berpengalaman
Malah anak buah, Datuk Lim Teong Kim berjaya menyaingi pelawat sebelum kubu mereka runtuh pada minit ke-40.
Sehingga itu Selangor menghadapi kesukaran untuk merobek gawang tuan rumah.
Apapun, dua jaringan pada setiap babak membolehkan anak buah Tan Cheng Hoe mengutip mata penuh sekaligus kekal di tangga kedua liga.
Seperti dijangka The Bos Gaurus ternyata bukan lawan gergasi merah yang membariskan pemain berpengalaman dan import berkualiti untuk mengusai perlawanan.
Penantian pelawat berakhir apabila memecah kebuntuan gol apabila Ayron Del Valle Rodriguez merembat melepasi jangkaun penjaga gol, Shaheeswaran Thavakumar dari sepakan percuma pada minit ke-40.
Lima minit kemudian, Mohd Faizal Abdul Halim meletakkan Selangor dua gol di hadapan melalui usaha solonya.
Selangor meneruskan asakan di babak kedua dan lima minit saingan bersambung kapten, Muhamad Mukhiri Ajmal Mahadi memilih sudut yang baik untuk menewaskan Shaheeswaran dari luar kotak penalti pada minit ke-55.
Rodriguez melengkapkan jaringan apabila menanduk masuk gol keempat Selangor pada minit ke-66.
Begitupun anak buah Teong Kim tidak menyerah mudah kerana tetap berjuang hingga ke wisel penamat. – UTUSAN