SHAH ALAM: Penganut bukan Islam di negeri ini dilarang menggunakan kalimah ‘Allah’ berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dizahirkan pada 23 Mac 2021.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penegasan tersebut dibuat selepas mengambil maklum penjelasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan meletakkan hak dan enakmen di bawah kerajaan negeri akan terus dipertahankan.
“Titah baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor bahawa penggunaan kalimah Allah di Negeri Selangor oleh penganut agama bukan Islam adalah dilarang.
“Ini adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014, serta fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 berkaitan dengan perkara yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Malaysia dan KDN dilapor memfailkan notis pemberhentian rayuan kes itu yang dimohon Jabatan Peguam Negara yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan proses berkenaan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Berita tersebut mencetuskan kegemparan umat Islam yang memberikan pelbagai reaksi serta bimbang kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat akan bebas dieksploitasi atau dikelirukan agama lain.
Bagaimanapun Amirudin menambah, perkembangan keputusan KDN itu tidak akan menjejaskan atau mengancam pendirian kerajaan negeri berhubung penggunaan kalimah Allah.
“Kerajaan negeri tegas melindungi kepentingan serta sensitiviti kepercayaan agama harus dihormati dan tidak menggugat keharmonian dan perpaduan yang dibina dan menjadi asas kepada Selangor,” tegasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof menyeru semua pihak termasuk ahli politik menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri berdasarkan Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
Menurutnya, MAIS kesal dengan tindakan oleh KDN menarik balik rayuan yang dilakukan secara unilateral tanpa berunding dengan MAIS atau pihak yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan itu.
“MAIS dan dua lagi majlis agama Islam negeri dibenarkan hadir dalam kes rayuan itu oleh Mahkamah Rayuan sebagai amicus curae (sahabat mahkamah).
“MAIS juga mengulangi kenyataan sebelum ini dan menegaskan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negeri ini adalah satu kesalahan di bawah enakmen tersebut dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010,” jelasnya. – UTUSAN