PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 44, menunda hasrat untuk mengadakan konsert solo berskala besar yang sepatutnya diadakan tahun ini.
Keputusan itu dibuat selepas memikirkan keadaan peminat yang mungkin sudah berbelanja banyak membeli tiket Konsert Satu Suara Vol.3 yang diadakan pada Sabtu.
“Sebenarnya perancangan yang seterusnya ialah saya nak buat konsert solo dalam masa yang terdekat.
“Tapi saya tahu, saya tidak boleh paksa peminat untuk beli lagi tiket konsert saya. Saya kasihankan mereka dan saya kena adil kepada peminat. Insya-Allah, konsert solo itu nanti saya adakan tahun depan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Konsert Satu Suara Vol.3 baru-baru ini.
Mengulas lanjut, penundaan konsert ini juga diharap dapat memberikan waktu yang cukup kepada Siti dan pasukannya untuk tampil dengan idea konsert yang lebih bernas.
“Penundaan ini juga membuatkan saya ada masa untuk buat persiapan serta menghasilkan idea yang lebih bombastik untuk konsert itu nanti.
“Lagi pula saya sedang merakamkan album terbaru. Apa kata saya tunggu album ini keluar, dapatlah saya menyanyikan lagu baru semasa konsert itu nanti tahun hadapan,” tambahnya.
Bercerita lanjut mengenai album terbaharunya itu, Siti baru sahaja selesai merakamkan tujuh lagu walaupun suaranya masih belum sembuh sepenuhnya.
“Rakaman untuk album itu saya buat pada Ramadan lalu dalam keadaan suara yang masih serak.
“Alhamdulillah, Allah permudahkan saya merakam tujuh lagu. Album itu nanti akan memuatkan 12 lagu secara keseluruhan. Suara saya pun baru nak baik dan semakin banyak perubahan,” katanya lagi.
Terdahulu, Siti merupakan salah seorang penyanyi yang memeriahkan konsert Satu Suara Volume Tiga yang turut menampilkan Ernie Zakri dan Jay Jay. Konsert yang diadakan di Plaza Sungei Wang itu dihadiri kira-kira 4,000 pengunjung.
Konsert itu juga merupakan usaha yang dilakukan Yayasan Nurjiwa bagi mendapatkan dana bantuan membiayai sekolah buat anak-anak Palestin di Gaza.