Saya tak tiru mana-mana artis - Aufahanie - Utusan Malaysia

Saya tak tiru mana-mana artis – Aufahanie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU minggu pertama pentas program realiti Big Stage membuka tirainya, nama Aufahanie, 20, sudah menjadi sebutan di media sosial kerana tidak sengaja memakai busana iras salah seorang juri, Aina Abdul semasa konsert yang berlangsung minggu lalu.

Pemilik nama sebenar Nur Aufahanie Mokhtar yang menyanyikan lagu Geming Jiwa turut terkejut sekali gus menegaskan segala yang terjadi hanyalah sekadar kebetulan semata-mata dan bukannya gimik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Memandangkan saya mempersembahkan lagu balada Geming Jiwa, jadi kami tidak menggunakan banyak props sebaliknya meletakkan kreativiti kepada baju.

“Soal pakaian semua saya serahkan kepada pihak pengurusan. Saya tak tahu baju apa yang akan dipakai sehinggalah sesi latihan. Itupun saya tidak tahu menahu apa yang dipakai oleh Aina.

“Tapi bila ‘kapsul’ dibuka malam itu, saya pun terkejut dan tergamam. Pakaian yang ala-ala sama dengan Aina memang hanya kebetulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Namun begitu, tidak hanya pakaiannya yang menjadi sorotan. Vokal dan persembahan keseluruhan penyanyi asal Shah Alam, Selangor itu juga menjadi tumpuan.

Malah kongsinya,. selepas habis persembahan malam itu, pengurusnya tidak membenarkan dia membaca komen di laman sosial supaya dapat memberi tumpuan dan tenaga kepada persembahan.

“Saya banyak dengar daripada kawan-kawan dan keluarga bahawa ramai yang memberikan reaksi positif terhadap persembahan saya.

“Sebenarnya saya sudah bersedia dengan apa-apa komen daripada warganet kerana saya masuk pertandingan, jadi saya kena bersedia untuk disuka atau tidak
.
“Apapun, saya sudah berhasrat memasuki Big Stage sejak lima tahun lalu. Bila sudah diberi peluang, saya akan berusaha semaksimum mungkin,” tambahnya.

MENCARI IDENTITI
INI bukan kali pertama Aufa disamakan dengan Sarah Suhairi. Sejak gadis itu mula membuat video lagu-lagu saduran di aplikasi TikTok, sudah ramai yang memberikan komen sebegitu.

Tidak hanya Sarah, ada juga yang menyamakannya dengan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dan Dayang Nurfaizah.

Namun begitu, Aufa tidak berkecil hati. Gadis itu berharap agar masyarakat dapat menerimanya sebagai Aufahanie tanpa perlu berselindung di bawah bayangan penyanyi lain.

“Saya terima sahaja apa yang dikata orang ramai sebab itu satu pujian kerana Sarah seorang yang cantik.

“Saya dan pihak pengurusan masih mencari lagi rentak dan arah tuju karier saya. Saya mahu lari dari bayangan penyanyi lain. Sekarang saya sedang lakukan yang terbaik agar di kemudian hari tidak ada lagi yang menyamakan saya dengan sesiapa,”katanya yang juga pernah tercalon sebagai Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 23.

BERPERANG DI BIG STAGE
Aufa mengakui tidak main-main dalam membuat persiapan sebelum berperang di pentas Big Stage. Pengalaman pernah terkucil semasa membuat persembahan di sebuah pertandingan program realiti nyanyian pada tahun 2020 membuatkan gadis itu bangkit lebih kental.

“Selepas kejadian itu, saya akui sedikit trauma untuk buat persembahan di atas pentas. Namun keluarga dan pengurusan selalu memberikan sokongan.

“Baru-baru ini saya ada buat persembahan di sebuah acara Malam Galau Indonesia yang dihadiri 5,000 pengunjung. Jadi di situ saya perlahan-lahan mendapatkan kembali keyakinan dan kekuatan untuk bertanding di pentas Big Stage,” tambahnya.

Mengulas kekuatan 13 peserta lain yang tidak kurang hebatnya, Aufa tidak putus asa sebaliknya menggandakan usaha untuk memberikan persembahan terbaik setiap kali konsert.

“Saingan peserta kali inu sangat kuat terutamanya daripada peserta berkumpulan. Impian saya untuk bertahan dan bergelar finalis di minggu akhir.

“Saya rasa peserta terkuat Hoondoo dan Waode sebab strategi mereka sangat hebat. Vokal pun tak dinafikan memang ada kekuatan.

“Jadi, saya kena bekerja lebih gigih. Saya akan tunjukkan apa yang saya ada,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya