Saya rasa kosong, perlu paksa diri bercakap - Hun Haqeem - Utusan Malaysia

Saya rasa kosong, perlu paksa diri bercakap – Hun Haqeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU ketika, pelakon, Hun Haqeem pernah didakwa sukar untuk ditemui rakan media. Dia seperti lebih senang bersendiri dan fokus kepada kerja.

Malah, pernah juga dia tampil di sebuah majlis hiburan dengan keadaan badan yang semakin susut sehingga ada yang mendakwa dia sedang mengalami masalah kesihatan.

Ramai juga beranggapan, Hun sudah sombong. Nama semakin meningkat naik, populariti juga semakin memeluk diri. Namun bukan itu sebenarnya yang terjadi.

Jawablah mendapatkan Hun. Benarkah semua dakwaan? Apa yang sebenarnya berlaku. Hun, Jawablah !

SEBELUM ini, Hun pernah ‘hilang’ seketika. Terlalu fokus dengan kerja sehingga ramai yang beranggapan Hun seorang yang sukar didekati atau lebih senang menyendiri. Benarkah?

Ya, saya akui satu ketika sekitar dua tahun lepas saya lebih senang bersendiri. Ketika itu, kesihatan mental saya tidak berapa baik.

Saya kurang bercakap dan perasaan rasa kosong sahaja. Bukan dengan rakan-rakan industri seni sahaja, dengan keluarga pun kadang-kadang saya kurang mesra.

Tidak seperti sebelum ini. Nak bercakap dengan orang sampai kena paksa diri.

Apa yang menyebabkan Hun mengalami kecenderungan untuk tidak bergaul dengan orang sekeliling? Adakah Hun terlalu penat bekerja atau ada isu-isu peribadi yang mencetuskan sikap sebegitu?

Banyak isu dan masalah yang perlu saya hadap sepanjang 2021 sehingga 2022. Mungkin peminat di luar sana nampak semuanya baik-baik sahaja tetapi, ketika itu saya sedang ‘memaksa’ diri.

Sebagai pelakon, bila saya terlalu menjiwai watak, itu memerlukan banyak tenaga. Secara tidak langsung, itu menye – babkan saya rasa terlampau penat.

Dengan jadual penggambaran yang banyak. Tetapi sebenarnya ada isu peribadi yang benar-benar memberi impak kepada saya.

Maaf, saya tak boleh kongsi secara details tetapi, bila dicampur aduk semua isu, itu menambahkan masalah secara mental.

Ketika itu, Hun sedar keadaan kesihatan mental semakin terjejas? Apa yang Hun lakukan untuk melarikan diri daripada kemelut yang membelenggu fikiran?

Saya menetap bersama keluarga. Bila saya balik rumah, anak-anak buah harapkan saya mesra, ceria seperti sebelum ini.

Tetapi saya mula ada perangai cranky. Tak mesra dengan semua orang. Mungkin bagi segelintir pihak, itu hanyalah isu remeh tetapi bagi saya, tidak.

Saya berubah tidak seperti diri saya dahulu. Tetapi Alhamdulillah, saya sedar perubahan itu. Saya tahu saya perlu lawan walaupun ketika itu jiwa saya sendiri meronta untuk bersendirian,

Saya banyak luang masa dengan keluarga dan kawan-kawan. Mereka banyak membantu saya untuk pulih.

Hun ada dapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada doktor atau ahli terapi bertauliah?

Ya, saya ada dapatkan pemeriksaan dan terapi daripada mereka yang bertauliah. Saya ada menghadiri 10 sesi terapi demi mencari punca dan solusi untuk kecenderungan tersebut.

Saya juga tahu, apa pun masalah yang dihadapi, kembalilah kepada Tuhan. Saya solat dan meminta agar diberi ketenangan dalam diri.

Alhamdulillah, bila satu persatu isu peribadi mula terlerai dan selesai, saya sudah dapat rentak kehidupan itu semula. Saya kembali kepada peribadi yang sebelum ini.

Sekarang Hun lebih menyusun jadual kerja dengan baik, tidak ‘tamak’ dalam menerima tawaran kerja?

Dulu pun tidak tamak, cuma mungkin ketika itu rezeki datang back to back. Mungkin saya yang tidak pandai menyusun.

Sekarang sudah ada pengurusan yang membantu dan saya juga tahu, batas diri sendiri. Saya perlu mencari sweet spot dalam pekerjaan ini.

Masa untuk saya luangkan bersama keluarga dan sahabat handai. Bekerja tanpa perlu mengorbankan masa bersama mereka yang tersayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya