KOTA KINABALU: Setiap kali keluarga datang melawat di Penjara Wanita, Yaya, 31, (bukan nama sebenar) hati kecilnya meronta-ronta ingin ikut ibu pulang ke rumah.
Malah, semasa majlis Jalinan Kasih yang diadakan sempena Aidilfitri kali ini, dia menyimpan hasrat untuk pulang ke rumah bersama ahli keluarga yang lain.
Namun, itu hanya sekadar impian wanita yang bergelar banduan akhir kerana ditangkap semasa menyeludup masuk dadah ke Sabah.
“Saya harap dapat ikut (keluarga) pulang ke rumah meraikan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada majlis Jalinan Kasih Aidilfitri di Penjara Wanita Kota Kinabalu di sini.
Wanita yang pernah bekerja sebagai pereka grafik sambilan itu ditahan bersama dadah seberat lima kilogram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 2019. Atas kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Anak ke-11 daripada 13 beradik itu berkata, jika masa boleh diputar semula, dia memang tidak akan berani menjadi keldai dadah.
Hanya kerana ingin menikmati kehidupan mewah, dia mengambil jalan mudah dengan menyeludup masuk dadah.
“Itu adalah kali pertama saya menyeludup dadah dan bekalan diperoleh daripada kenalan, kawan atas kawan. Biarpun saya tidak mengambil dadah tapi perasaan ingin ‘enjoy life’ membuatkan saya terleka.
“Jadi, hargai apa yang ada sebelum kehilangan peluang menikmati kehidupan yang jauh daripada perkara yang boleh memusnahkan masa depan kita,” katanya.
Satu-satunya warga tempatan yang menjadi lima banduan akhir Penjara Wanita itu masih dalam proses memfailkan rayuan di mahkamah dan jika tidak berhasil, dia akan memohon bagi mendapatkan pengampunan Yang Dipertua Negeri Sabah.
Katanya, dia akan berusaha memfailkan rayuan agar dia boleh dibebaskan semula agar dia boleh kembali dan menjalani kehidupan disamping keluarga tersayang.
Wanita yang adakalanya menjadi imam kepada banduan wanita itu berkata, apabila dimasukkan ke penjara, dia banyak belajar tentang kepentingan menjaga ibadah solat yang selama ini tidak diberi diamalkan semasa bebas di luar. – UTUSAN