Satu tan pil ekstasi bernilai RM78 juta cuba diseludup menerusi pelabuhan P. Pinang dirampas - Utusan Malaysia

Satu tan pil ekstasi bernilai RM78 juta cuba diseludup menerusi pelabuhan P. Pinang dirampas

ZAZULI Johan (dua dari kanan) meneliti pil ekstasi yang cuba diseludup menerusi NBCT dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - Pix SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih satu tan pil dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (ekstasi) bernilai lebih RM78 juta di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT), di sini Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri menahan sebuah kontena yang dibawa masuk melalui pelabuhan itu kira-kira pukul 9 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kontena terbabit diisi dengan 20 unit pemampat senyap piston (silent compressor).

“Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian unit itu telah diubah suai ruang dalamannya untuk menyembunyikan bungkusan berisi pil-pil dadah terbabit.

“Berdasarkan siasatan awal, kontena itu dibawa masuk dari negara Eropah dan kita kini sedang mengenal pasti pihak lain yang terlibat dalam pengimportan dadah secara besar-besaran ini.

“Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang juga ejen turut ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Tambahnya, operasi terbabit adalah kejayaan rampasan dadah terbesar di Malaysia bagi tahun ini.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak berkuasa memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya.

“Jenayah penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ujar beliau, orang awam boleh memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau membuat laporan di pejabat kastam terdekat di semua negeri.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihak berkuasa Australia berjaya merampas dadah heroin seberat 336 kilogram yang dibawa masuk menerusi kontena dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.

Dadah dianggarkan bernilai RM789.56 juta itu ditemukan ditanam dalam dua blok konkrit dalam kontena terbabit yang didaftarkan membawa perkakas solat dan dialamatkan ke sebuah pusat industri di Brendale, utara Brisbane. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya