KUCHING: Sarawak berjaya mematahkan aktiviti pembalakan haram dengan nilai jualan kayu rampasan anggaran berjumlah RM4,027,150 bagi tempoh tahun 2020 hingga 2022, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Menteri Kedua Sumber Asli dan Pembangunan Bandar berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 264 kes kesalahan hutan telah direkodkan dengan keseluruhan nilai kompaun berjumlah RM1.6 juta.
“Sebanyak 15 kes telah didaftar untuk pendakwaan di mahkamah, di mana 12 kes telah diselesaikan, dengan lima (5) orang tertuduh telah disabitkan kesalahan.
“Manakala tiga (3) kes lagi masih dalam proses perbicaraan,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Bagaimanapun Awang Tengah menegaskan masalah pembalakan haram di Sarawak kini masih lagi terkawal.
“Kejayaan ini adalah hasil daripada strategi penguatkuasaan bersepadu yang telah dilaksanakan.
“Antaranya, polisi yang jelas serta peruntukan undang-undang yang kukuh; penggunaan teknologi canggih seperti dron, (pengimejan satelit, hyperspectral, geospatial); komitmen dan integriti tinggi dalam kalangan pegawai-pegawai penguat kuasa; kerjasama dan memikul tanggungjawab bersama dengan agensi penguat kuasaan yang lain; dan sokongan yang padu daripada pihak industri perkayuan,” ujarnya.
Tambah Awang Tengah lagi, bagi memastikan hidupan liar dan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) sentiasa terpelihara, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) giat melaksanakan tugas-tugas penguat kuasaan.
“Dari 2020 sehingga April 2023, sejumlah 326 kes kesalahan berkaitan kawasan TPA dan hidupan liar telah direkodkan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34 kes telah didakwa di mahkamah. 30 kes telah dikenakan denda dan sebanyak RM172,000 telah dikutip dan seramai 29 orang pesalah dijatuhkan hukuman penjara.
“Baki empat (4) kes lagi masih dalam proses perbicaraan manakala, 135 kes telah dikompaun dengan jumlah kutipan hampir RM434 ribu dan 157 kes lagi masih dalam pelbagai peringkat siasatan,” jelasnya.-utusan