KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berjaya merekodkan kutipan hasil RM23 juta dengan seramai 194,814 pengunjung daripada pengusaha rumah inap desa ini di seluruh negeri itu.
Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan perkara itu dan menegaskan pihaknya akan meneruskan usaha bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mendaftar lebih ramai pemilik rumah inap desa secara sah.
“Pada masa ini kita mempunyai 48 kluster rumah inap desa, dengan 596 pengendali rumah inap desa dan 1,401 bilik.
“Justeru itu bagi tahun ini, bersama Pejabat MOTAC Sarawak, kementerian kita menyasarkan untuk menambah dua lagi kluster rumah inap desa, menjadikan senarai itu kepada 50 kluster,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan Kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Ujar Abdul Karim lagi, sehingga kini seramai 440 pengendali rumah inap desa, pemandu pelancong dan taman telah dilatih mengenai strategi pemasaran, pengurusan kualiti perkhidmatan dan pengetahuan produk pelancongan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan homestay mereka.
“Usaha lain juga telah dijalinkan bersama dengan Swinburne University of Technology Kampus Sarawak bagi menjalankan satu kajian tindakan mengenai Pembangunan Pelancongan Mampan berkaitan Program Nilai Tambah CBT sebagai Pengendali bagi Peningkatan Sosial-Ekonomi sektor pelancongan di Sarawak,” tambahnya.
“Objektifnya adalah untuk menilai keberkesanan perniagaan homestay semasa dan mengesyorkan rangka kerja CBT tambah nilai,” dedahnya.
Justeru itu, Abdul Karim yakin usaha ini akan bantu kementerian dan industri pelancongan di Sarawak meningkatkan lagi operasi perniagaan inap desa agar lebih berdaya saing di Sarawak.
Pada masa yang sama, produk eko pelancongan baharu iaitu Sarawak Delta Geopark secara rasmi juga telah diisytiharkan sebagai Geopark Negara ke-6 sejak Jun tahun lalu.
“Sebagai sebahagian daripada produk geopelancongan baharu, kementerian saya kini sedang membangunkan dua cadangan geotrail di Kampung Kuop (kawasan Padawan) dan satu lagi di Daerah Bau.
“Setelah siap geotrail ini kelak, ia akan dipromosikan sebagai tarikan kepada pengunjung dan seterusnya sasaran kita untuk disenaraikan sebagai Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah dalam UNESCO ke-2,” katanya.- utusan