KERAP terlibat membintangi projek drama platform over-the-top ternama, pelakon yang sedang meningkat naik, Sara Mack Lubis, 27, semakin menjadi perhatian dan buruan syarikat produksi setelah membintangi drama bersiri terbitan Viu Malaysia, Nenek Bongkok Tiga.
Lakonan Sara yang membawakan karakter Malia dalam siri itu meraih pujian penonton di samping bergandingan dengan pelakon terkenal seperti Meerqeen, Hun Haqeem, Syafie Naswip, Sara Ali dan Datin Sofia Jane.
Siapa sangka, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini juga sebenarnya sudah membintangi beberapa drama sama ada diterbitkan secara indipenden mahupun arus perdana.
Pendek kata, tak kisahlah scene indie atau platform sedia ada popular, semua sudah dirasainya.
Salah satu filem pendek lakonannya, Can You Love Me The Most? berjaya membawa pulang trofi Filem Pendek Terbaik Festival Filem Malaysia ke-32. Sara juga terlibat membintangi filem psychological thriller bertajuk Kabus, dan drama bersiri seperti Love in Lockdown, Seribu Nina, Nenek Bongkok Tiga dan Gamers Mangkuk.
Walaupun semakin aktif mencipta nama di dunia lakonan, gadis kacukan Belanda, Indonesia dan Jawa ini sebenarnya pernah berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara.
Namun dia memilih untuk meneruskan impiannya sejak kecil untuk bergelar pelakon.
“Saya memang menyimpan hasrat untuk bergelar pelakon setelah menonton cerita ‘Glee’. Namun dulu, saya tidak berpeluang untuk meneruskan impian itu.
“Apapun, saya bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang dan berpengalaman terjun ke dunia pekerjaan sebagai peguam dan wartawan. Disiplin yang saya bentuk di alam pekerjaan itulah yang menjadikan siapa saya hari ini.
“Saya tak pernah menyesal meninggalkan bidang guaman dan kewartawanan kerana saya yakin inilah jalan yang Tuhan takdirkan untuk saya. Saya berpendapat, semua orang perlu menimba banyak pengalaman pada umur 20-an. Umur bukanlah kayu ukur segalanya. Kita tidak pernah terlambat untuk mencuba sesuatu yang baru,” katanya kepada Pancaindera, baru-baru ini.
TELITI KONTRAK TAWARAN
Biarpun masih baru dalam dunia lakonan, berlatarkan ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabagsa Malaysia banyak membantu Sara dalam menyaring kontrak lakonan yang ditawarkan kepadanya.
“Saya memang akan meneliti setiap apa yang tercatat di dalam kontrak. Jika ada terma yang tidak jelas, saya akan bertanya kepada penerbit dan minta mereka sediakan jawapan secara bertulis sebagai bukti.
“Saya tidak mahu ada masalah komunikasi antara saya dan pihak produksi di kemudian hari,” tambahnya.
Tidak hanya kontrak, Sara juga akan menghadam karakter yang ditawarkan kepadanya. Sebelum memasuki set penggambaran, Sara akan menulis analisis dan melakukan kajian mengenai karakter yang dibawa sebelum membentangkannya kepada pengarah untuk kepastian.
“Selalunya saya mempunyai ritual peribadi sebelum melakonkan sesuatu watak. Ada lima perkara yang akan saya buat iaitu yang pertama saya akan menelaah skrip seperti membaca buku.
“Kedua, saya akan lakukan analisis mengenai karakter tersebut. Ketiga, saya akan senaraikan tiga karakter yang mempunyai iras dengan watak yang akan saya bawakan.
“Keempat, saya akan lihat bagaimana karakter itu memberi respons terhadap watak lain dan terakhir saya akan buat pemerhatian di tempat awam dan ikut ekspresi wajah daripada filem yang saya tonton,” ceritanya panjang lebar.
HUNGERHURTS
Selain berlakon, Sara juga memulakan kerja sukarelawan di sebuah badan bukan kerajaan yang digelar Hungerhurts.
Visinya adalah untuk menamatkan kitaran kemiskinan dalam masyarakat.
“Sebenarnya pendidikan sangat signifikan untuk mengakhiri kemiskinan. Mungkin ramai tak tahu ada banyak murid yang berhenti sekolah semata-mata untuk pastikan ada makanan di atas meja mereka.
“Jika kita mahu mereka pergi sekolah, kita kena pastikan mereka ada sesuatu untuk dimakan.
“Walaupun sibuk macam mana pun dengan lakonan, saya akan pastikan untuk meluangkan masa melakukan kerja-kerja di Hungerhurts,” katanya.