Sanusi terima jemputan rasmi ke LIMA '23

Sanusi terima jemputan rasmi ke LIMA ’23

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (dua kanan) ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan sudah menerima jemputan rasmi untuk menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini.

“Dah, dah sudah (terima jemputan). Terima kasih (kerana menjemput),” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, di sini hari ini.

Pada 29 Mac lalu, Muhammad Sanusi mendakwa beliau dilarang daripada menghadiri sebarang majlis dan program anjuran Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA ’23, namun perkara itu tidak berlarutan dan dijemput ke beberapa acara termasuk Rumah Terbuka Malaysia Madani.

Tambahnya, semua agensi berkaitan kini giat melakukan persiapan menjelang perasmian acara terulung itu pada Selasa ini.

Beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat bersama Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk memastikan bekalan air mencukupi sepanjang pameran berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Sanusi mengingatkan para peniaga di pulau pelancongan itu supaya tidak menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya sepanjang pameran tersebut demi menjaga nama baik penduduk dan daerah itu.

“Roti canai RM5 (yang berlaku pada LIMA ‘19) adalah kenangan pahit kan? Apa-apa yang pahit jangan kita lakukan. Takkan teh tarik RM5?

“(Jual) agak-agak yang munasabah, supaya pengunjung ke Langkawi berkunjung sekali lagi di atas keramahan, kemesraan, dan munasabahnya orang Langkawi,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya