Sampaikan khutbah Jumaat, penghormatan buat guru - Utusan Malaysia

Sampaikan khutbah Jumaat, penghormatan buat guru

MUHAMMAD Yahya menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Guru, pegawai pendidikan daerah dan negeri yang terpilih menyampaikan khutbah Jumaat di negeri ini hari ini bertemakan penghargaan dan pengiktirafan kepada guru sempena Hari Guru pada 16 Mei ini menyifatkan ia satu pengalaman berharga.

Mereka juga menyifatkan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah agar guru menyampaikan khutbah Jumaat hari ini sebagai satu penghormatan kepada golongan tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Muhammad Yahya yang menyampaikan khutbah di Masjid Negeri Perak, Masjid Sultan Idris Shah II di sini berkata, pengalaman menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negeri hari ini merupakan satu pengalaman yang berharga.

Katanya, walaupun pernah menyampaikan khutbah Jumaat sebelum ini di peringkat daerah dan sekolah, namun menyampaikan khutbah di Masjid Negeri merupakan satu pengalaman yang berbeza.

“Peluang yang diberikan ini merupakan satu penghargaan buat kami golongan guru, kalau bukan berjawatan imam atau khatib masjid, memang tak dapat membaca khutbah tapi kami mohon secara rasmi dan kebenaran diberikan.

“Ini merupakan satu penghargaan kepada kami golongan guru untuk kami memberi input khususnya kepada masyarakat berkaitan tanggungjawab guru dan apa yang guru hadapi.

“Kita mohon agar golongan guru diberi peluang dan ruang untuk terus mendidik anak bangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sempena Hari Guru yang disambut 16 Mei ini, Sultan Nazrin menitahkan tema khutbah Jumaat hari ini memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada guru.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, khutbah bertemakan ‘Guru Insani Pemangkin Membangunkan Masyarakat Bertamadun’ disampaikan di semua masjid di Perak hari ini.

Guru, pegawai di Jabatan Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri yang dipilih menyampaikan khutbah Jumaat di masjid daerah dan Masjid Negeri Perak, Masjid Sultan Idris Shah II di sini.

Masjid daerah terbabit adalah Masjid Sultan Azlan Shah, INTIM, iaitu Masjid Daerah Kinta Utara.

Masjid daerah lain adalah Kinta Selatan, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Batang Padang, Larut Matang Selama, Manjung, Kerian, Hilir Perak, Bagan Datuk, Muallim, Hulu Perak dan Masjid Ghufroniah, Sungai Siput (Utara). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya