SHAH ALAM: Jumlah sampah domestik terutama sisa makanan di Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak enam peratus sepanjang Ramadan dan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Syawal kali ini berbanding tahun lalu.
Statistik itu direkodkan KDEB Waste Management (KDEBWM) menerusi hasil kutipan harian yang dijalankan antara 23 Mac lalu sehingga semalam berbanding kebiasaan pada hari lain sekitar 7,000 tan sehari.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd. Tahir berkata, peningkatan itu berlaku susulan kerancakan semula ekonomi menerusi Bazar Ramadan, kedai makan dan acara rumah terbuka.
“Namun, pemerhatian ketika Ramadan dan Syawal mendapati jumlah itu meningkat lebih 7,400 tan atau enam peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kebanyakan sampah itu merupakan sisa makanan yang dibuang orang awam termasuk peniaga,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM, hari ini.
Jelas Ramli, penurunan kutipan sampah hanya dicatatkan pada hari pertama dan kedua Syawal berikutan faktor penduduk pulang beraya awal di kampung.
“Sepanjang dua hari itu, kutipan hanya melibatkan hampir 4,000 tan sehari atau secara keseluruhan kira-kira 7,700 tan. Namun, keadaan itu kembali meningkat sehingga berakhirnya hujung Syawal minggu depan,” ujarnya.
Tambah beliau, data KDEBWM setakat ini mendapati jumlah sampah di Selangor sentiasa meningkat dan jarang mencatatkan penurunan.
“Kita faham jumlah penduduk di negeri ini amat ramai melebihi enam juta orang termasuk wujudnya banyak taman perumahan baharu.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan mengelak pembaziran dengan tidak membuang makanan dan memanfaatkan pelbagai pusat kitar semula yang disediakan termasuk KDEBWM,” katanya. – UTUSAN