KUALA LANGAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan tindakan saman yang difailkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebanyak RM150 juta kepada peguamnya untuk menguruskan hal tersebut.
Menurutnya, notis tersebut baru diterima daripada peguam bekas Perdana Menteri itu.
“Biar pasukan peguam saya (uruskan kes saman berkenaan),” katanya ketika ditemui di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat, di sini, hari ini.
Terdahulu, pengasas Parti Pejuang Tanah Melayu (Pejuang) itu memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, melalui peguamnya dua hari lalu.
Dr. Mahathir memfailkan saman tersebut selepas memberikan tempoh sehingga 17 April lalu untuk Anwar mengemukakan permohonan maaf berhubung ucapannya pada Kongres Nasional Khas Parti Keadilaan Rakyat (PKR) pada Mac lalu.
Kenyataan dibuat Presiden PKR itu didakwa ditujukan kepada Dr. Mahathir walaupun beliau tidak menyebut nama serta ahli keluarga yang dimaksudkan. – UTUSAN