MUNGKIN kedengaran pelik, tetapi realitinya memang itulah yang berlaku. Dalam ramai artis dan selebriti yang berangan dirinya sudah hebat dan terpaling diva meskipun masih baharu dan tak sampai sedekad berada dalam industri seni, artis senior seperti Saiful Apek pula lebih selesa untuk bersikap merendah diri.
Saiful yang satu ketika begitu popular dengan kumpulan Senario, dengan lawak jenakanya, tiada siapa dapat menafikan zaman kegemilangan seorang artis hebat sepertinya.
Kalau diikutkan, memang padan dan layaklah jika peminat, pengikut, pemerhati industri dan masyarakat menggelarkan dirinya sebagai seorang legenda. Bermakna, dia begitu dilihat tinggi dan dihormati ramai sebagai seorang selebriti yang disegani.
Pun begitu, lain pula penerimaan dan pandangan Saiful dengan situasi ini. Bagi Saiful, dia tak mahu dipanggil legenda kerana dia masih belum meninggal dunia.
Cik Bunga dengar cerita, Saiful berpandangan yang gelaran legenda yang diberikan kepadanya seakan tidak kena. Baginya, dia masih belum meninggal dunia, perkataan legenda itu bagaikan seseorang yang sudah tiada atau mati.
Bukan bermakna dia takut dengan kematian, jangan salah faham. Cik Bunga rasa apa yang dimaksudkan oleh Saiful itu lebih kepada perasaannya yang merendah diri. Dia tidak mahu dirinya dipuja sebegitu rupa. Cukup hanya jika dia dihargai dan dihormati sebagai seorang individu dan selebriti.
Tetapi bercakap pasal dihargai dalam industri, Cik Bunga rasa ada kekecewaan yang ditelan oleh Saiful dengan industri seni ini. Kalau betul dirinya dihargai, di mana kedudukannya sekarang? Karyanya masih diangkatkah? Atau kerjayanya sekadar ada tetapi tidak dipandang lagi?
Banyak persoalannya dan cerita boleh jadi panjang kalau hendak dikupas. Tetapi Cik Bunga doakan agar Saiful terus dapat berkarya lagi. Peminat pun kenalah tunjukkan sokongan yang betul. Jangan cuma cakap minat dan suka tapi tak tengok pun karyanya.