KUALA LUMPUR: Personaliti media sosial, Ryzal Ibrahim menafikan dia menghina golongan B40 menerusi sebuah video dalam media sosialnya baru-baru ini.
Menurutnya, content tersebut tidak lain hanyalah untuk memberi kesedaran bukan menghina golongan tersebut.
“Content itu bukan hinaan, itu realiti yang berlaku dalam kehidupan kita sekarang. Kena faham, kalau hina, kita herdik dalam keadaan yang buruk.
“Tapi sebenarnya kandungan itu baik kerana ia memberi kesedaran. Secara tidak langsung sebenarnya saya beri didikan,” katanya.
Ryzal berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Pelancaran Anugerah Bintang Popular. Semalam.
Ryzal baru-baru ini dikecam hebat gara-gara sebuah video yang dianggap seolah-olah menghina golongan B40.
Ulas Ryzal lagi, kandungan yang dikongsikan di Instagramnya itu hanyalah satu gurauan yang bukan dibuat untuk menjentik kemarahan golongan berkenaan.
“Mungkin golongan ini sensitif, menganggap ia satu sindiran. Patutnya mereka berterima kasih kerana dapat didikan dan kesedaran.
“Tapi saya tegaskan ia satu gurauan yang mungkin terlalu deep,” katanya lagi.
Dalam pada itu, pempengaruh media sosial itu, memaklumkan enggan pusing kepala memikirkan kecaman dan kutukan netizen berkaitan perkara tersebut.
“Kalau dulu, masa awal-awal di Malaysia mungkin saya ambil peduli. Tapi sekarang ia tidak memberi kesan kepada saya.
“Saya faham, mungkin mereka tak tengok keseluruhan video yang saya kongsikan itu. Mereka kena tengok dua kali. Kalau tidak, tak faham mesej tersirat,” tambahnya.