RUU Hotel Perak diluluskan - Utusan Malaysia

RUU Hotel Perak diluluskan

SANDREA Ng Shy Ching
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dewan Negeri Perak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023 membabitkan pelesenan dan pengawalan hotel di negeri ini.

Keputusan itu diumumkan Yang di-Pertua Dewan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas proses pengundian dilakukan pada Persidangan DUN Perak hari ini.

Daripada 57 Ahli Dewan Negeri yang mengundi, 32 ahli menyokong manakala 25 lagi menyatakan tidak bersetuju.

Semasa pengundian, dua Ahli Dewan Negeri iaitu Nga Kor Ming (PH-Kepayang) dan Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong) tidak berada dalam Dewan.

Ia diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibentang bacaan kali ketiga oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching dengan dibahaskan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri.

RUU itu antara lain bagi menggantikan Enakmen Rumah Tumpangan 1927 selari dengan perkembangan positif negeri Perak yang menerima semakin ramai pengunjung setiap tahun selain pembangunan pesat kemudahan penginapan seperti hotel, chalet dan resort.

Sandrea semasa penggulungan RUU itu berkata, RUU Hotel Perak 2023 antara lain menyediakan kaedah kawalan melalui perlesenan yang penting untuk dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti hotel dan tempat bermalam di seluruh negeri Perak.

Menurutnya, penyeragaman syarat lesen dapat mengawal isu keselamatan, kebersihan dan kacau ganggu yang menjadi pertimbangan dan kerisauan para pengunjung dalam pemilihan destinasi pelancongan dan keseragaman kualiti hotel di Perak akan menjadi tarikan pelancong untuk terus datang.

“Ini kerana kita menyediakan destinasi selamat atau safe-tourism secara menyeluruh dari utara hingga selatan negeri Perak.

“Ketetapan peruntukan dalam Enakmen ini akan banyak membantu kerajaan negeri menyediakan perancangan yang lebih bersasar kerana data pelesen dan tempat-tempat operasi pemalaman yang lebih tepat dapat terkumpul selepas ini.

“Melalui RUU ini juga meningkatkan ekonomi rakyat tempatan, penggiat industri dan peniaga-peniaga kecil yang menerima impak langsung daripada pengurusan industri pelancongan yang lebih seragam dan selamat hasil daripada tadbir urus yang berkesan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya