BUKIT MERTAJAM: Seramai 15,000 hingga 18,000 pengunjung dijangka menghadiri program sambutan Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, esok.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berharap mereka yang mahu berkunjung ke program itu merancang perjalanan dan tidak datang secara serentak pada waktu sama bagi mengurangkan kesesakan.
Katanya, ini kerana program yang dijangka bermula pukul 11 pagi hingga 2 petang itu akan tetap diteruskan sehingga semua makanan yang disediakan habis.
“Seramai 23 pegawai dan 149 anggota polis akan ditugaskan untuk memantau perjalanan program dari pukul 9 pagi hingga selewat-lewatnya pukul 5 petang.
“Mereka akan dibantu oleh 29 anggota polis bantuan UiTM Pulau Pinang selain 22 anggota Rela serta 22 anggota Kor Suksis (Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi) sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan anggota yang bertugas pada hari itu seramai 245 orang,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Cheng San berkata, pihak penganjur iaitu UiTM turut menyediakan beberapa kawasan parkir bagi memudahkan pengunjung yang ingin ke program berkenaan.
Katanya, antara lokasi parkir yang disyorkan ialah di kawasan Politeknik Seberang Perai (PSP) yang terletak tidak jauh dari UiTM Pulau Pinang dengan kemudahan bas ulang-alik sebanyak lima buah.
“Pada masa sama, orang awam juga dibenarkan meletak kenderaan mereka di dalam kawasan UiTM, namun disyaratkan datang awal kerana tempat adalah terhad iaitu kira-kira 1,800 unit (parkir) sahaja.
“Penganjur turut menyediakan sehingga tujuh kenderaan ‘shuttle’ (ulang-alik) bagi mengangkut pengunjung dari lokasi parkir ini ke tempat program,” katanya.
Tambah Cheng San, ketika program berlangsung, semua laluan masuk akan melalui pintu hadapan UiTM kecuali melibatkan kenderaan tetamu kehormat dan laluan keluar akan melalui pintu belakang universiti itu.
“Pada esok juga, kenderaan MPV (peronda) polis akan masuk ke kawasan taman perumahan berdekatan bagi membuat hebahan mengenai program itu,” ujarnya. – UTUSAN