PETALING JAYA: Wartawan veteran, Rozaid Abdul Rahman dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rozaid, 58, yang melapor tugas hari ini di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya menggantikan Datuk Wan Nurzila Wan Abd. Rahman yang menamatkan perkhidmatannya awal bulan ini.
Rozaid sebelum ini ialah Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.
Pada Disember 1989, beliau mencatat sejarah sebagai wartawan Malaysia yang pertama memasuki terowong yang dibina oleh anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sempadan Malaysia-Thailand sejurus selepas termeterainya perjanjian damai di antara PKM dan kerajaan Malaysia. – UTUSAN