KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan cubaan pengedaran rokok seludup hasil serbuan di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu, dekat sini, Sabtu lalu.
Pengarah JKDM Terengganu, Mohd. Nadzri Ariffin berkata, jumlah keseluruhan rampasan rokok pelbagai jenama itu termasuk cukai duti dianggarkan bernilai hampir RM4 juta.
Menurut beliau, dalam serbuan serbuan pada pukul 1.30 petang itu, JKDM juga merampas dua buah lori dan sebuah bot gentian kaca yang digunakan dalam aktiviti tersebut dipercayai didalangi rakyat warga tempatan.
“Hasil risikan maklumat selama empat hari, JKDM telah mengenal pasti tempat pendaratan rokok seludup disyaki dari negara jiran untuk pasaran Pantai Timur dan Lembah Klang.
“Namun ketika tiba di lokasi, suspek yang menyedari kehadiran anggota penguatkuasa bertindak melarikan diri ke kawasan belukar dan meninggalkan lori serta bot.
“Susulan itu kami merampas sebanyak 4.7 juta batang rokok berjumlah RM564,000 melibatkan duti cukai lebih RM3.15 juta manakala dua buah lori dan sebuah bot gentian kaca bernilai RM260,000 pula disita,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, modus operandi suspek adalah dengan membawa rokok menggunakan bot sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
Mohd. Nadzri menambah, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pemilik-pemilik lori yang digunakan selain penglibatan mereka dalam aktiviti penyeludupan rokok seludup.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN