RM66 juta setahun bagi perbelanjaan klien AADK - Utusan Malaysia

RM66 juta setahun bagi perbelanjaan klien AADK

SUTEKNO Ahmad Belon (tiga dari kanan) merakamkan gambar sewaktu Majlis Perasmian Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang, Padang Besar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kerajaan membelanjakan kira-kira RM66 juta setahun bagi perbelanjaan klien Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang sedang menjalani program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI).

Daripada jumlah tersebut, seorang klien yang mengikuti program RPDI akan diperuntukkan sebanyak RM30 sehari bagi perbelanjaan membabitkan makanan, minuman, pakaian, kelengkapan latihan dan lain-lain.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, secara purata bilangan klien yang mengikuti dan tamat program RPDI bagi tempoh setahun dianggarkan sekitar 18,000 orang.

“Kita berharap kadar penagihan dadah di negara ini menjelang tahun 2025 dapat turun ke paras bawah 400 orang daripada jumlah 100,000 orang penduduk,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sutekno berkata, AADK berharap klien-klien mereka dapat dipulihkan sepanjang hajat dan kekal produktif dalam masyarakat.

Katanya, komuniti, ahli keluarga dan masyarakat juga perlu memberi sokongan dalam membantu setiap klien yang menjalani rawatan pemulihan.

“Janganlah ada stigma dan syak wasangka kerana mereka boleh kembali semula seperti biasa,” katanya.

Katanya lagi, AADK juga sememangnya mempunyai kolaborasi bersama beberapa majikan bagi memberi penempatan pekerjaan buat klien-klien yang tamat menerima rawatan.

“Setiap klien sememangnya berpeluang untuk mendapat pekerjaan bergantung kepada kesesuaian bidang masing-masing.

“Sebenarnya 100 peratus klien kita memang berpeluang untuk dapat pekerjaan selepas keluar dan ia mengikut kesesuaian bidang masing-masing kerana apa kita mahukan adalah untuk mereka kekal untuk bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Johor menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah individu terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah di negara ini bermula bagi tempoh sejak tahun 2018 sehingga bulan Mac tahun ini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan AADK, Johor mencatatkan sebanyak 83, 115 individu manakala Kelantan menjadi negeri kedua tertinggi dengan sebanyak 79, 779 individu dan diikuti Selangor 75, 345 individu.

Selain itu, Perlis pula merekodkan jumlah penyalahgunaan dan penagihan dadah terendah berbanding negeri-negeri lain iaitu membabitkan 11, 791 individu bagi tempoh sama.

Bagi tahun 2022 pula, AADK merawat pulih seramai 44,754 orang penagih menerusi Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

Daripada jumlah itu, seramai 19,440 klien telah dinilai dan hasil penilaian mendapati seramai 14,008 klien meliputi 72 peratus telah mencapai tahap kepulihan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya