Risda sasar 20,000 hektar tanah dalam program Tanam Semula Getah - Utusan Malaysia

Risda sasar 20,000 hektar tanah dalam program Tanam Semula Getah

RUBIAH Wang (belakang, dua kiri) bersama Pengerusi Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (belakang, kiri) bergambar bersama anak-anak yatim Pertubuhan Warisan Suci Sungai Merab pada majlis Hari Raya Aidilfitri Risda 2023. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memperkenalkan program Tanam Semula Getah dengan sasaran keluasan 20,000 hektar pada tahun ini sebagai antara usaha meningkatkan pengeluaran getah negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, sehingga hari ini sebanyak 50 peratus atau lebih kurang 10,000 hektar daripada sasaran tersebut telah dicapai dan diluluskan.

“Kita juga cuba buka kepada tanah-tanah kosong di seluruh negara, jika dulu kita buka kepada tanah sedia ada yang mana ada getah-getah tua untuk ditanam semula, tetapi tahun ini buka kepada tanah kosong.

“Kita juga beri bantuan kepada pekebun-pekebun kecil dengan harapan untuk meningkatkan kawasan getah negara. Insya-Allah, dengan perluasan ini kita harap ada sambutan daripada pekebun-pekebun kecil.

“Setakat ini yang paling banyak adalah di Sarawak, Pahang serta Kedah yang melibatkan 6,200 pekebun kecil,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Risda 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Risda, Datuk Abdullah Zainal berkata, buat masa ini pihaknya tidak mendapat sebarang rungutan daripada pekebun seluruh negara berkaitan kerugian yang dialami mereka ketika musim El Nino yang melanda negara ketika ini.

Bagaimanapun, masalah membimbangkan yang sedang dihadapi oleh pekebun-pekebun seluruh negara pada waktu ini adalah berkaitan penyakit pestalotiopsis menyerang hampir kebanyakan kebun getah.

“Penyakit ini akan menyebabkan pokok getah mengalami luruhan daun dan paling membimbangkan adalah apabila hasil serta produktiviti getah telah menurun hampir 50 peratus.

“Pun begitu, saya turut berterima kasih kepada pihak kerajaan yang telah memberi bantuan rawatan penyakit ini sejak dua tahun lalu dan buat masa ini lebih 25,000 hektar tanah kebun telah dirawat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya