KEMELUT politik Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menjejaskan pasaran kewangan dunia, iaitu sama ada Senatnya akan memberi kelulusan untuk menaikkan had siling hutang kerajaan semasa sebanyak AS$31.4 trilion pada 1 Jun 2023. Tetapi seperti biasa, parti Demokratik dan Republikan pasti akan mencapai kata sepakat dihujung nanti, kerana mereka pasti tidak mahu mengheret negara sendiri ke dalam krisis ekonomi yang pasti akan menimbulkan kemarahan pengundi, namun yang menjadi mangsa adalah pasaran mata wang dunia termasuklah ringgit Malaysia.
Kita dapat melihat perkembangan pasaran kewangan dunia dari kaca mata kita sendiri, iaitu walaupun terdapat ancaman bahawa nilai mata wang AS$ akan menjunam jika hutang kerajaan kuasa ekonomi terbesar di dunia itu “ingkar” iaitu gagal membayar hutang semasa; nilai mata wang AS$ kekal kukuh pada masa ini. Indeks DXY, yang mengukur AS$ berbanding enam mata wang lain, telah meningkat kira-kira 2.0 peratus sejak pertengahan April kepada sekitar 103, walaupun ia masih turun kira-kira 10 peratus daripada paras tertinggi 20 tahun pada September lepas iaitu 114.78. Jika pelabur bersetuju dengan satu perkara tahun ini, ia adalah bahawa AS$ akan jatuh, tetapi tidak, sebaliknya ia menjadikan kenaikan 2% dolar AS sepanjang bulan lalu sangat mengelirukan.
Walaupun kadar Inflasi AS semakin berkurangan dan Rizab Persekutuan (Fed) mungkin berhenti menaikkan kadar faedah bulan depan, seharusnya AS$ harus dalam perjalanan ke bawah, bukan? Tetapi terdapat pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi situasi semasa. Salah satunya ialah pelbagai kebimbangan, bukan sahaja mengenai rundingan had siling hutang AS tetapi juga tahap kesihatan bank-banknya dan prospek ekonomi global juga melayakkan AS$ sebagai pegangan yang selamat pada masa ini. Kekacauan dan ketidaktentuan geopolitik dunia juga menjadikan AS$ sebagai pilihan pelaburan yang selamat.
Sementara itu, terdapat beberapa tanda bahawa Fed mungkin perlu menaikkan semula kadar faedah dan lebih banyak faktor teknikal yang berkaitan dengan kedudukan pelabur terlibat. Data pembukaan semula ekonomi China juga tidak begitu menggalakkan untuk tempoh semasa 2023.
Jadi peningkatan dalam nilai mata wang AS$ adalah disebabkan sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan permintaan untuk tempat perlindungan yang selamat memandangkan keadaan ekonomi dunia berada dalam kedudukan ‘tidak diketahui.’ Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari dan banyak dipengaruhi oleh faktor global, terutamanya dengan apa yang berlaku di AS.
Aliran pasaran modal akan menuju ke AS jika dolar terus mengukuh dengan penyelesaian had siling hutang, kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan juga akan mendorong mata wang AS$ lebih tinggi. Ia pasti akan melemahkan ringgit seperti mata wang dunia lain, ia juga menyebabkan aliran pelaburan keluar dari pasaran modal ke arah AS juga. Namun, ia akan menyebabkan barangan dan perkhidmatan yang dijual dalam mata wang AS$ dan produk dari AS menjadi mahal. Kenaikan harga akan mencetuskan lagi kenaikan inflasi yang sukar dikawal, ini termasuk harga minyak mentah yang disebut dalam matawang AS$ juga.
Dedolarisasi yang telah dimulakan oleh negara-negara BRICS akan terus meningkat dan juga memaksa negara-negara lain untuk menukar penerimaan matawang bersama antara satu sama lain untuk perdagangan dan penyelesaian antarabangsa. Namun, jumlah besar AS$ dalam edaran global terutamanya dalam rizab majoriti bank-bank pusat di dunia, akan menyukarkan mata wang AS$ untuk diganti. Selain itu, ramai pengurus dana memegang sejumlah besar Bon Perbendaharaan AS, ini tidak termasuk pegangan yang sama oleh kebanyakan jabatan-jabatan perbendaharaan kerajaan dan bank komersial seluruh dunia.
Harga komoditi yang disebut dalam AS$ juga akan menaikkan kadar inflasi di peringkat global, kita juga akan melihat hanya pertumbuhan kecil dalam perdagangan antarabangsa pada tahun ini apabila pelbagai negara mula mengurangkan import mereka kepada yang perlu sahaja dan meneliti lebihan atau defisit perdagangan masing-masing berikutan pengukuhan AS$.
Kita sudah melihat eksport Malaysia pada April meneruskan aliran menurun sejak Januari tahun ini. Penurunan sebanyak -14.5 peratus dalam perdagangan antarabangsa kita kepada RM198 bilion dalam perbandingan tahun ke tahun antara April 2023 dan April 2022, menunjukkan prospek ekonomi global yang suram. Dalam usaha kita untuk mencapai pertumbuhan KDNK yang disasarkan sebanyak 4 ke 5 peratus, pihak kerajaan dengan kerjasama BNM mesti berganding bahu untuk menyelaraskan ekonomi domestik secepat mungkin melalui dasar fiskal dan monetari yang seiring. Dengan kadar inflasi yang terkawal walaupun masih tinggi dari tahun lepas, namun ekonomi domestik haruslah mempunyai kitaran tunai yang sihat untuk melonjakkan permintaan dan pertumbuhan dalam negeri yang mula sugul.
Unjuran penurunan ringgit berbanding dolar telah dijangka, tetapi nilai ringgit juga jatuh berbanding semua mata wang rakan dagang dan negara-negara jiran ASEAN. Sebagai contoh berbanding dolar Singapura, ringgit sudah merosot melebihi RM3.40 dan mungkin akan terus terhakis antara 3.45 dan 3.50. Ringgit susut lagi berbanding pound Britain kepada 5.7247/7296 daripada 5.6877/6914 pada penutup Rabu, lemah berbanding euro kepada 4.9630/9673 daripada 4.9470/9502, tetapi meningkat sedikit berbanding yen Jepun.
Bagi mata wang Asean yang lain pula, ringgit terus susut berbanding rupiah Indonesia kepada 309.2/309.6 daripada 308.1/308.5 pada penutup Rabu, turun berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.26, dan 8.26/8 daripada 8.24, dan susut lagi berbanding baht Thailand kepada 13.3602/337269 /3073 sebelum ini.
Walaupun ringgit pernah berada di posisi RM4.60 hingga RM4.70 semasa tempoh sebelum PRU15 iaitu November 2022, kini kerajaan mestilah bertindak melalui Pelan Strategik untuk mengelakkan kejatuhan selanjutnya dalam ringgit. Ia sudah pasti tidak boleh dilepaskan kepada kuasa pasaran kerana mereka unik dan kini ia dikuasai oleh polemik politik AS dan dasar Rezab Perbendaharaannya, yang pastinya sudah tentu tiada penawaran dan permintaan sebenar pasaran kewangan yang menentukan keseimbangan. Bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini tetapi sesuatu yang sentiasa dikawal oleh tokoh-tokoh besar, oleh itu ia memerlukan penyelesaian luar kotak iaitu penyelesaian yang belum pernah berlaku sebelum ini. – UTUSAN
*Penulis adalah penganalisis ekonomi dan pensyarah kanan UniKL Business School