Ridzuan Hashim rahsiakan sakit jantung takut tak dapat kerja

Ridzuan Hashim rahsiakan sakit jantung takut tak dapat kerja

Ridzuan Hashim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Pelakon dan usahawan Didie Alias, 51,mendedahkan bekas suaminya, Allahyarham Ridzuan Hashim pernah membuat permintaan agar ahli keluarga dan teman rapat tidak menghebahkan penyakitnya kepada umum kerana gusar tidak mendapat tawaran pekerjaan.

Menurut Didie, Ridzuan memang menghidapi sakit jantung sejak tiga tahun lalu namun perkara itu hanya diketahui oleh dirinya, anak-anak serta teman rapat sahaja.

“Dia seorang yang happy-go-lucky. Orang tahu, kalau dekat set penggambaran kerjanya memang suka menyakat orang.

“Dia minta jangan beritahu sesiapa tentang penyakit jantungnya. Hanya orang tertentu sahaja yang tahu tentang sakit yang dialaminya sebab katanya, kalau beritahu semua orang dia sakit, nanti dia tak ada job. Itulah apa yang dia pesan kepada saya dan anak-anak.

“Kami pun sepakat untuk jaga dia bersama-sama. Alhamdulillah dapat juga kami jaga dia dalam tempoh tiga tahun,” kata Didie kepada Utusan Malaysia selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kariah Dusun Tua, malam tadi.

Walaupun bukan lagi bergelar isteri kepada arwah, namun Didie tidak pernah menyimpan dendam dan mengekalkan hubungan baik bersama-sama Ridzuan semasa hayatnya.

Tidak hanya beraya bersama, malah Didie sering menghantar makanan yang dimasaknya untuk Ridzuan yang tinggal bersama-sama anak lelakinya.

“Rasa macam baru jumpa dia kerana kami beraya bersama-sama. Biasanya kalau ada masak lebih, memang saya akan hantar ke rumahnya sebab dia duduk dengan anak lelaki.

“Malam sebelum, saya hantar rendang ayam. Dia kata rendang ayam saya sedap, champion! Dia suruh anak sampaikan itu kepada saya.

“Arwah tak beri apa-apa petanda sebelum pergi. Saya tenangkan anak, dan cakap kita semua pasti akan mati. Ayah pun pergi dengan cara yang baik dan dia sangat kuat sampai ke akhirnya,” tambah Didie lagi.

Terdahulu, Ridzuan dilaporkan rebah di rumahnya di Bandar Tun Razak ketika sedang bersarapan dengan anaknya sekitar jam 11 hingga 12 tengahari tadi.

Allayarham kemudian digegaskan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan meninggal dunia.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor selepas solat Maghrib malam tadi.

Semasa hayatnya Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal.

Bukan itu sahaja, Ridzuan juga pernah bekerja dengan produksi antarabangsa menerusi filem Don 2 bersama-sama Shah Rukh Khan dan filem Love & Death on Java oleh sebuah produksi dari Jerman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya