KUALA SELANGOR: Kemeriahan sambutan Aidilfitri bagi 14 keluarga di Kampung Bestari Jaya di sini, bertukar detik cemas apabila bumbung kediaman mereka dilanda ribut kencang, baru-baru ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, Sabtu lalu itu mengakibatkan bumbung rumah mereka tercabut dan musnah diterbangkan angin ketika hujan lebat.
Mangsa, Srizza Sani, 37, berkata ketika kejadian dia bersama ibu dan anak lelaki sedang menjaga neneknya, Raonah Sudin, 88, yang terlantar di katil.
“Saya sedang memapah nenek untuk dimandikan di tandas yang berada di dapur kediaman berkenaan. Namun, saya terkejut mendengar bunyi kuat seperti puting beliung dan dentuman kuat.
“Tidak lama kemudian, beberapa atap dilihat tercabut dan nyaris menghempap nenek saya,” katanya ketika ditemui di lokasi itu, petang tadi.
Terdahulu, dia dan 13 keluarga lain yang terjejas disantuni bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang menyerahkan sumbangan untuk meringankan beban.
Tambah Srizza, kejadian itu kali kedua menimpa keluarganya dalam tempoh setahun dan bersyukur kerana terselamat.
Bagi Ahmad Musa, 62, ketika kejadian dia keluar beraya bersama isterinya di sekitar daerah ini.
“Setibanya di rumah pukul 5 petang, saya terkejut melihat bumbung dapur sudah tercabut sepenuhnya dan dipenuhi air setinggi paras buku lali. Kejadian itu menyebabkan meja dapur dan semua kuih raya musnah akibat terkena air hujan,” ujar datuk kepada 11 cucu itu.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, sumbangan disalurkan menerusi syarikat guaman beliau diharap dapat membantu meringankan beban semua mangsa ribut tersebut.
“Penduduk kawasan yang meliputi Tanjong Karang ini sememangnnya dekat di hati dan saya tidak pernah melupakan mereka. Ini adalah kerja kebajikan saya yang membantu rakyat sedaya mampu tanpa mengira parti politik atau bangsa,” katanya. – UTUSAN