PETALING JAYA: Sebanyak 15 buah sekolah di ibu negara yang terjejas akibat dilanda ribut dalam kejadian lewat petang kelmarin akan ditutup sehingga keadaan sekolah tersebut disahkan selamat oleh Jabatan Kerja Raya.
Kira-kira 15,000 murid dan lebih 1,000 guru dan pentadbir sekolah terkesan selepas 15 buah sekolah di ibu negara mengalami kerosakan teruk seperti bumbung tercabut dan pokok tumbang akibat kejadian itu.
Antara sekolah yang terjejas adalah tujuh sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pudu iaitu SMK Desa Perdana; SK Yaacob Latif; SK Salak South; SK Danau Perdana; SJKC Jalan Imbi; SK Cochrane dan SMK (P) Methodist.
Selain itu, enam sekolah di bawah PPD Keramat iaitu SK Setapak; SK Kg. Bharu; SMK Puteri Wilayah (Asrama); SMK Seri Titiwangsa; SK Kementah dan SMK Taman Melati serta dua sekolah di bawah PPD Sentul iaitu SMK Jinjang dan SK Seri Nilam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika dihubungi berkata, kementeriannya mencadangkan penutupan sesi persekolahan kerana kawasan tersebut didapati tidak selamat.
Namun, katanya, sebarang penutupan sesi persekolahan di kawasan terlibat tetap terpulang kepada Kementerian Pendidikan selepas penilaian dibuat Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Setakat ini, kita belum dapat butiran terperinci, tetapi jika kita dapati bangunan yang terlibat di sekolah terjejas itu tidak selamat diduduki, maka kita akan syorkan (sesi sekolah) tutup dan tidak dijalankan sehingga kerja-kerja baik pulih siap nanti.
“(Buat masa ini), kita akan bantu buat penilaian dari aspek teknikal dan pada masa ini (semalam) JKR sudah turun buat penilaian semua tempat dan melihat apa keadaan sebenarnya di sekolah” katanya ketika dihubungi semalam.
Jelas berkata, jangkaan tempoh penilaian itu bagaimanapun terpulang kepada pegawai teknikal yang lebih arif tentang perkara tersebut.
Petang kelmarin, beberapa kawasan di Lembah Klang terutamanya di Kuala Lumpur dilanda kejadian ribut dan angin kuat sehingga mengakibatkan banyak kejadian tidak diingini.
Selain menjejaskan sekolah, dinding sebuah rumah di Flat Perumahan Awam Loke Yew dan bumbung melibatkan empat buah rumah di Blok 3, Perumahan Awam Seri Johor turut tercabut akibat kejadian tersebut.
Terdahulu, Alexander dalam satu kenyataan berkata, JKR Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti dengan lebih mendalam jenis dan tahap kerosakan semua sekolah yang terlibat.
“Buat masa ini, JKR sudah menasihatkan pihak sekolah termasuk guru-guru dan pelajar-pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu.
“Kementerian Kerja Raya melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan sesegera mungkin, katanya.
Beliau menambah, kementeriannya juga menerima laporan kerosakan beberapa unit rumah di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Batu Kentonmen Kuala Lumpur disebabkan kejadian ribut berkenaan.
“Antara lain kerosakan yang dilaporkan adalah membabitkan bumbung dan awning yang tercabut diterbangkan angin kuat.
“JKR bekerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN