KLANG: Seorang remaja perempuan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 28 April lalu di Meru akhirnya ditemui dekat rumah rakannya di Hutan Melintang, di Bagan Datuk, Perak, hari ini.
Nur Adriana Natasya Noor Sazli, 17, berjaya ditemukan oleh ahli keluarganya selepas kehilangannya ditularkan dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, remaja tersebut ditemukan dalam keadaan selamat setelah keluarganya menularkan kes kehilangannya beberapa hari lalu.
“Pada 29 April kira-kira pukul 3.57 petang, pihak Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerima aduan berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan Melayu berumur 17 tahun melarikan diri daripada penjaganya di Meru.
“Siasatan awal polis mendapati (mangsa) tiga kali melarikan diri dari rumah. Dalam kesemua kejadian itu, polis menjumpainya dan (difahamkan) mangsa melarikan diri ke rumah kawannya untuk mencari ketenangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Viyaja, sebelum mangsa ditemui, polis berusaha mengesan mangsa yang padanya mulanya dipercayai berada di sekitar Ampang dan Damansara, namun berdasarkan maklumat daripada orang awam, mangsa dikatakan berada di Hutan Melintang.
“Bagaimanapun, polis akan menghantar Nur Adriana Natasya terlebih dahulu ke hospital untuk menjalani pemeriksaan bagi (mengesan) sekiranya terdapat sebarang perbuatan jenayah ke atas mangsa,” ujarnya.
Sebelum ini, Nur Adriana Natasya dilaporkan hilang dekat rumahnya selepas pulang daripada beraya di kampungnya di Perak pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
Kakak sulungnya, Nur Amira Natasya Sazli, 20, memberitahu, keluarganya cuba mencari mangsa dengan pelbagai cara, termasuk menjejaki telefon pintar mangsa melalui e-melnya. – UTUSAN