SEPANG: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas lari dari rumah keluarganya di sini, sejak empat hari lalu akhirnya ditemui selamat tengah hari semalam.
Remaja lelaki itu ditemukan di sebuah kedai makan di Kota Warisan di sini, sekitar 1 petang.
Difahamkan, selepas keluar dari rumah keluarganya, remaja itu pergi ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum kembali ke Kota Warisan dan bekerja di kedai makan itu dengan upah RM30 sehari.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, penemuan mangsa dimaklumkan pemilik kedai makan itu yang kemudian menghubungi seorang pengetua sekolah agama.
Beliau berkata, pengetua sekolah agama yang dikenali sebagai Ustaz Yusmi itu pernah berkongsi tentang kehilangan remaja itu di laman sosial sebelum ini.
“Ustaz berkenaan kemudian membawa remaja itu ke sekolahnya di Sekolah Menengah Islam Integrasi An Nawawi, Taman Mawar di sini sebelum menghubungi ahli keluarga remaja itu,” katanya di sini hari ini.
Katanya, remaja itu turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk diambil keterangan sebelum laporan kehilangan mangsa ditarik balik.
Sebelum ini, remaja dikenali Ahmad Hasif Mohd Hafizi itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di Taman Dahlia, Bandar Salak Tinggi, di sini pada awal pagi Sabtu lalu.
Mangsa didapati keluar dari rumah keluarganya sekitar pukul 2 hingga 5 pagi dan memberi alasan mahu mencari kerja. – UTUSAN