KLANG: Beraya secara mesra alam menjadi konsep sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Northport (Malaysia) Berhad (Northport) apabila acara itu dianjurkan dengan tema alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Pelabuhan Utara, hari ini.
Menerusi konsep tersebut, Northport berjaya memastikan tiada sampah domestik dan sisa makanan dibuang di tapak pelupusan sampah sebaliknya kesemua buangan tersebut diproses melalui kitar semula dan penghasilan kompos.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Azman Shah Mohd. Yusof, pelaksanaan tema ESG penjadi petunjuk prestasi utama (KPI) dalam penganjuran rumah terbuka tersebut untuk memastikan amalan dasar syarikatnya diteruskan.
“Acara tahun ini bertemakan ‘Hijaukan Syawal Anda’. Sepanjang acara tersebut lebih 2,000 tetamu boleh menyaksikan pelbagai aktiviti dan pameran bertemakan ESG seperti motosikal elektrik, pengurai sisa makanan, peralatan elektrik mesra alam dan sebagainya.
“Untuk majlis ini, Northport menetapkan sasaran KPI sifar sisa dengan melaksanakan amalan mampan termasuk menderma lebihan makanan kepada badan amal dan menggunakan pengurai sisa makanan menjadi kompos,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Raya 2023 Northport, hari ini.
Jelasnya, majlis rumah terbuka tersebut disifatkan sebagai manifestasi syarikat untuk meningkatkan kesedaran kepentingan alam sekitar dalam kalangan kakitangan, pemegang taruh dan komuniti setempat.
“Majlis tersebut membuktikan komitmen Northport sebagai warga korporat yang bertanggungjawab dan memandang kepentingan amalan ESG dalam operasi syarikatnya sebagai komitmen terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial sebagai aspek penting dalam operasi perniagaan.
“Kami berharap Majlis Rumah Terbuka Hari Raya 2023 membawa keceriaan dan inspirasi kepada semua kakitangan dan tetampu yang hadir. Seiring kita melangkah ke hadapan, marilah bekerjasama membina masa depan mampan, semoga inisiatif ESG membawa kita lebih dekat sebagai sebuah komuniti,” ujarnya. – UTUSAN