Ramanan jamin MITRA tak akan terpalit isu penyelewengan

Ramanan jamin MITRA tak akan terpalit isu penyelewengan

R. RAMANAN bercakap dalam sidang akhbar pengumuman inisiatif MITRA di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Datuk R. Ramanan memberi jaminan unit berkenaan tidak akan terpalit dengan sebarang isu penyelewengan dana.

Ini kerana katanya, beliau bersama beberapa lagi ahli JPPK MITRA yang dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk memegang amanah bagi membantu kaum India khususnya golongan B40 di negara ini.

“Saya boleh bagi jaminan MITRA tak akan ada apa-apa kaitan dengan penyelewengan, tapi saya harap sama (pemohon) yang diberikan (dana) oleh MITRA saling memberi kerjasama kerana ini bergantung kepada dua pihak dan bukan satu pihak sahaja,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan sesi perbincangan program MITRA di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, MITRA turut melanjutkan tempoh permohonan bagi geran kewangan sehingga 28 Mei depan dengan 1,227 permohonan diterima secara dalam talian sehingga semalam yang bernilai RM443 juta.

Jelasnya, unit berkenaan akan bersikap telus dengan memaparkan setiap nama penerima geran serta organisasi di laman web rasmi MITRA.

“Mereka (pemohon) juga memberikan kebenaran kepada kami untuk paparkan nama mereka sebagai bukti bahawa kami telah mengeluarkan dana tersebut,” ujarnya.

Menurut Ramanan, setiap permohonan akan dikaji terlebih dahulu sebelum MITRA menentukan jumlah dana yang akan disalurkan mengikut keperluan program.

Jelasnya, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan, syarikat atau pun organisasi boleh memohon geran tersebut asalkan mereka membantu komuniti India dalam kalangan B40.

“Selepas salurkan dana, MITRA akan jalankan pemantauan, selain itu kita juga ada tanda tangan aku janji dengan penerima untuk mereka laksanakan program berdasarkan permohonan. Kalau mereka tak manfaatkan geran bagi tujuan sepatutnya, mereka kena pulangkan wang ini,” tegasnya.

Pada 19 April lalu, media melaporkan setiap penerima dana MITRA akan dipaparkan dalam laman rasmi www.mitra.gov.my dan langkah tersebut dipersetujui dalam mesyuarat pertama jawatankuasa itu dalam usaha membersihkan imej MITRA supaya keyakinan rakyat dikembalikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya