KANGAR: Rakyat tidak melakukan sebarang kesilapan apabila memilih Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Berdasarkan keputusan PRU15, data secara jelas menunjukkan pengundi khususnya kaum Melayu telah beralih sokongan kepada PN.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Wan Zikri Afthar Ishak berkata, rakyat semakin bijak dalam membuat keputusan bagi memilih parti yang benar-benar dapat membela nasib mereka.
“Kalau mereka (Ahmad Zahid) katakan rakyat tersilap buat keputusan dengan memilih PN pada PRU15, maka ini bermaksud mereka menidakkan hak pengundi untuk memilih.
“Calon-calon PN kebanyakkan meraih kemenangan besar dalam PRU15, jadi janganlah kita memperlekehkan pilihan rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri DUN Tambun Tulang di sini, semalam yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.
Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid menzahirkan keyakinan bahawa pengundi yang melakukan kesilapan memilih PN dalam PRU15 akan beralih sokongan menyokong Barisan Nasional (BN) dan parti sekutunya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Katanya, BN bersama Pakatan Harapan (PH) yakin mampu menang di negeri-negeri memiliki majoriti Melayu yang ditadbir PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai peluang dalam PRN, Wan Zikri berkata, pihaknya berkeyakinan gabungan itu mampu menawan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan Kelantan, Kedah serta Terengganu.
“Kita dapat melihat berdasarkan penganjuran program-program dilaksanakan PN memang mendapat sambutan memberansangkan daripada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Wan Zikri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang berkata, pihaknya berharap agar kerajaan negeri dapat mencari mekanisme terbaik dalam menghadapi musim cuaca panas pada ketika ini.
Ujarnya, langkah tersebut perlu diambil memandangkan Tambun Tulang adalah merupakan kawasan pertanian dan penduduk di sini sememangnya berisiko terdedah kepada risiko strok haba.
“Satu mekanisme terbaik perlu diusahakan oleh kerajaan negeri dalam memastikan pekebun atau pesawah di kawasan ini tidak terdedah kepada risiko cuaca panas,” katanya.-UTUSAN