ALOR SETAR: Legenda sukan sepak takraw tanah air, Adnan Saidin meninggal dunia pada usia 66 tahun, pagi ini.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir.
Difahamkan, Allahyarham yang turut digelar Raja Sepak Takraw Asia telah beberapa hari menjalani rawatan di hospital akibat sakit jantung dan jangkitan kuman pada paru-parunya.
Adnan yang dilahirkan di Kampung Padang, Tandop, di sini mula berjinak-jinak dalam sukan itu sejak berusia lapan tahun dengan bermain sepak takraw pada setiap petang.
Perjuangannya selama hampir 20 tahun dalam sukan itu banyak meninggalkan kenangan manis kepadanya dan juga negara terutamanya ketika ketika berdepan musuh tradisi, Thailand pada aksi final Sukan SEA di Jakarta 1979.
Tidak ‘koyak’ dengan perang psikologi dilancarkan lawan, libasan ‘maut’ Adnan tepat ke dada apit kanan Thailand yang menyaksikan pemain itu tumbang akibat sesak nafas dan terpaksa diusung keluar gelanggang.
Kehebatannya dalam sukan itu membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Asia 1984 dan digelar Raja Sepak Takraw Asia 1986. –UTUSAN