Pulau Pinang masih bebas rabies sejak 2015 - Utusan Malaysia

Pulau Pinang masih bebas rabies sejak 2015

DR. SAIRA BANU Mohamed Rejab (kiri) bersama Ketua Bahagian Kesihatan, JPV Pulau Pinang, Dr. Nor Azahani Kamarudin pada Kempen Kesedaran Penyakit Haiwan dan Hari Bertemu Pelanggan sempena majlis sambutan Aidilfitri JPV Pulau Pinang di Bukit Mertajam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang masih bebas daripada kes rabies setakat ini sejak kali terakhir kes positif jangkitan virus itu dilaporkan di negeri ini kira-kira lapan tahun lalu.

Pengarah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, setiap tahun, pihaknya akan mengaktifkan survelan serta persampelan bagi mengesan virus terbabit dalam kalangan anjing yang berisiko dan sehingga kini keputusan yang diterima adalah negatif.

“Bagi kes gigitan anjing pula, kita akan mengambil sampel (otak) anjing liar manakala anjing bertuan akan dikuarantin 14 hari terlebih dahulu untuk diawasi sekiranya terdapat simptom berkaitan.

“Dalam hal ini, anjing yang dijangkiti rabies biasanya akan mati dalam tempoh berkenaan (14 hari). Tapi, jika sebaliknya berlaku (tidak ada tanda jangkitan atau tidak mati), maka kita akan lepaskan kerana anjing itu tidak dijangkiti rabies,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa perasmian Kempen Kesedaran Penyakit Haiwan dan Hari Bertemu Pelanggan sempena majlis sambutan Aidilfitri JPV Pulau Pinang di Jalan Bukit Tengah, di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, sebanyak 11 kes rabies dilaporkan di Sarawak bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Mei lalu dengan sembilan kematian direkodkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak kini mencecah 66 kes dengan 59 kematian secara keseluruhannya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr. Saira Banu memberitahu, sehingga kelmarin, 21 daripada 30 buah ladang babi komersial yang dikesan positif wabak demam babi Afrika (ASF) sebelum ini telah dilupuskan dengan kaedah pelemasan menggunakan gas karbon dioksida.

Beliau berkata, baki sembilan lagi ladang babi pula diarahkan disembelih di rumah sembelih yang ditetapkan setelah negatif ujian kali kedua.

“(Ketika ini) jumlah ladang disyaki positif adalah lima buah iaitu satu di SPU (Seberang Perai Utara) dan empat lagi di SPS (Seberang Perai Selatan).

Tambah beliau, secara keseluruhannya, sebanyak 27,344 ekor babi telah dilupuskan setakat ini dengan 26,570 ekor daripadanya dimatikan menggunakan gas karbon dioksida manakala selebihnya dilaporkan mati sendiri di ladang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN