Pulau Bidong bakal diwarta Taman Negeri Terengganu - Utusan Malaysia

Pulau Bidong bakal diwarta Taman Negeri Terengganu

TUN Ahmad Faizal Tun Abdul Razak (tengah) diberi taklimat pembangunan daripada pegawai Taman Negeri Terengganu di Pulau Bidong, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Pulau Bidong yang pernah menjadi penempatan Orang Hanyut Vietnam selama hampir dua dekad sehingga tahun 1991 bakal diwartakan sebagai Taman Negeri Terengganu menjelang bulan September depan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pengisytiharaan tersebut sebagai usaha memelihara khazanah warisan, sejarah maritim dan alam semulajadi di pulau tersebut.

Menurutnya, Pulau Bidong juga bakal menjadi Taman Negeri yang keempat di Terengganu, selain Kenyir di Hulu Terengganu, Tanah Bencah di Setiu dan Pulau Tenggol di Dungun.

Katanya, urusan pewartaan dijangka selesai pada Jun depan dan Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) akan memulakan operasinya di Pulau Bidong pada September dengan pembukaan sebuah pejabat di pulau itu.

“Ketika ini, sektor pelancongan Pulau Bidong diselia oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu dan urusan promosi pula dilaksanakan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

“Selepas diisytiharkan sebagai Taman Negeri nanti, kerjasama tiga agensi ini akan diteruskan lagi untuk memastikan Pulai Bidong terus menjadi destinasi pelancongan terkenal di dunia dan Malaysia amnya,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di Pulau Bidong, di sini, hari ini.

Pulau Bidong mula dibuka kepada pelancong pada Januari 2017, namun hanya terhad kepada lawatan harian sahaja manakala mereka yang mahu bermalam perlu mendapatkan kebenaran Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Mengulas lanjut, Tun Ahmad Faisal berkata, tarikan utama Pulau Bidong ialah keindahan terumbu karang, peninggalan sejarah pelarian Vietnam, kepelbagaian flora dan fauna yang masih tidak ‘terusik’ serta kewujudan galeri dasar laut pertama seumpamanya di Malaysia.

“Keunikan Pulau Bidong sentiasa meniti di bibir aktivis alam sekitar serta peminat snorkeling dan selam skuba serta pencinta sejarah warisan dan maritim antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya