KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk proses pemindahan seekor gajah jantan liar di Kampung Seri Bayas, Setiu, dekat sini, semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, gajah liar seberat 1.5 tan yang yang memusnahkan tanaman kelapa sawit milik enam penduduk di kampung tersebut berjaya ditangkap pada Isnin lalu.
Menurutnya, proses pemindahan mamalia tersebut berjalan lancar dengan bantuan dua ekor gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Sungai Deka, Hulu Terengganu.
Katanya, seramai 20 kakitangan dari Perhilitan Terengganu dan PKGK Sungai Deka terlibat dalam proses pemindahan gajah liar tersebut.
“Gajah jantan liar yang dianggarkan berusia 15 tahun itu dipindahkan ke Taman Negara dekat Hulu Terengganu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, anggota Perhilitan akan terus melakukan pemantauan di sekitar kawasan tersebut kerana pekebun mendakwa terdapat lebih seekor gajah yang menceroboh masuk ke kebun kelapa sawit mereka.
Sementara itu, seorang penduduk, Wan Jusoh Wan Abdullah, 72, berkata, seramai enam pengusaha kebun kelapa sawit di kampung mengalami kerugian lebih RM70,000 setelah tanaman mereka diserang sekumpulan gajah liar sejak awal bulan ini.
Jelasnya, pokok kelapa sawit yang ditanam itu sepatutnya mengeluarkan hasil pertama pada November depan, namun terpaksa berputih mata setelah 115 pokok kelapa sawit yang ditanam musnah akibat diserangan sekumpulan gajah liar tersebut.
Menurutnya, gajah liar itu dipercayai datang dari hutan berhampiran dan masuk ke dalam kebun sawit milik orang kampung akibat kelaparan.
“Masalah gajah berkeliaran ni sudah lama berlarutan, namun sejak akhir-akhir ini semakin kerap berlaku, masuk ke kebun untuk makan umbut kelapa sawit,” ujarnya.m- UTUSAN