Projek tebatan banjir bernilai RM501 juta dalam pelaksanaan - Utusan Malaysia

Projek tebatan banjir bernilai RM501 juta dalam pelaksanaan

RUMAH pam Kampung Bunut Rendang yang dibina di bawah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Belat di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan empat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM501 juta yang diluluskan sejak 2017 bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, salah satunya adalah projek Pemba­ngunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan Pakej 1 iaitu menaik taraf Sungai Belat dan membina struktur yang kini 99.7 peratus selesai.

Katanya, selain itu kerja-kerja projek RTB di Pekan Fasa 2 iaitu pembinaan benteng Sungai Pahang serta kerja berkaitan kini mencapai 69 peratus.

“Projek ketiga yang dilaksa­nakan ialah projek PLSB Sungai Kuantan Pakej 3 iaitu dengan membina ban pencegah banjir di Perkampungan Cenderawasih serta mempertingkat ban sedia ada di Perkampungan Sungai Isap serta kerja berkaitan baharu tiga peratus kerja dilaksanakan.

“Projek RTB Sungai Semantan Temerloh Fasa 1 dan kerja berkaitan telah lapan peratus dilaksanakan,” katanya menjawab soalan lisan V. Arumugam (BN-Sabai) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini semalam.

Wan Rosdy berkata, selain itu terdapat juga projek Tebatan Banjir yang sedang dalam peringkat rangka bentuk melibatkan kos RM168.7 juta.

“Antaranya ialah projek RTB Sungai Jelai Fasa 1 melibatkan kerja pembinaan ban tebatan banjir serta kerja berkaitan reka bentuk oleh konsultan, PLSB sungai Kuantan Pakej 2 melibatkan Sungai Pandan dan Sungai Kuantan di Bukit Rangin bagi kerja pembinaan ban tebatan banjir yang masih peringkat perolehan dan RTB Tanjung Gahai di Lipis yang bernilai RM7.7 juta kini dalam proses lantikan kontraktor,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, Wan Rosdy menjelaskan, kerajaan mengakui Pahang sentiasa dilanda banjir dan ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan, justeru menjadi tugas dan tanggungjawab kerajaan negeri untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat.

“Selain memberikan keutamaan mana yang lebih pen­ting, banyak kawasan dilanda banjir pihak JPS telah buat kajian dan lazimnya permohonan ini ambil masa. Apabila peruntukan sampai, pihak JPS akan buat cadangan tempat yang perlu diberi keutamaan untuk dilaksana projek tebatan banjir ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya