PERMATANG PAUH: Modul dan mekanisma pembiayaan untuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang akan dibincang dan diperincikan terlebih dahulu sebelum projek tersebut dimulakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara tersebut akan dimuktamadkan segera selepas beberapa perbincangan berkaitan dilakukan.
“Secara dasarnya, kita (Kementerian Pengangkutan) telah bersetuju untuk membiayai projek ini sekali gus mengurangkan beban kerajaan negeri dalam mencari dana (untuk projek LRT). Itu kena jelas.
“Kedua, ‘priority’ (keutamaan) kita ialah, apabila kerajaan Persekutuan ambil alih dan laksanakan projek ni, apa saja laporan yang dibuat oleh kerajaan negeri iaitu laporan terdahulu itu akan dijadikan rujukan. Kita tak terikat tapi kita ambil pertimbangan.
“Kerajaan negeri mahu laluan pertama (untuk projek LRT) dari Bayan Lepas ke Komtar (George Town). Itu secara prinsipnya kita setuju, tak ada masalah. Tapi, cara pelaksanaan dan sebagainya akan diperincikan (selepas ini). Keutamaan kita ialah untuk laksanakan projek ini dengan cepat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap sempena program Rumah Terbuka Malaysia Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju membiayai projek LRT di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menganggap pengumuman Anwar mengenai projek LRT itu sebagai hadiah Aidilfitri paling bermakna buat penduduk di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mengusahakan projek berkenaan termasuk mendapat tekanan daripada rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini.
Menurutnya, walaupun Pulau Pinang sejak sekian lama membangun dengan pesat dan maju, namun kemudahan insfrastruktur masih ketinggalan.
“Sudah sekian lama kita tidak ada projek-projek infrastruktur yang besar khususnya dalam menangani kesesakan lalu lintas.
“Bagi Pulau Pinang kita memilih LRT ini sebab ia sudah 10 tahun kita usahakan, menghadapi pelbagai kecaman dan lain-lain. Jadi, kita hadapi dengan sabar dan akhirnya menerima berita gembira ini pada hari ini,” ujar beliau. – UTUSAN