Program Smart SSB Mini Sekinchan MADA-Bernas bakal lonjak pendapatan pesawah - Utusan Malaysia

Program Smart SSB Mini Sekinchan MADA-Bernas bakal lonjak pendapatan pesawah

MOHAMAD Sabu (kiri) menunjukkan benih padi sebelum melakukan gimik pelancaran Program Smart SSB Mini Sekinchan MADA-Bernas di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pelaksanaan Program Smart SSB Mini Sekinchan MADA-Bernas bakal membantu dalam melonjakkan pendapatan pesawah di samping meningkatkan pembangunan industri padi negara ke tahap lebih baik.

Melalui program tersebut, pesawah mampu meningkatkan pendapatan sebanyak 15 peratus daripada RM2,000 kepada RM5,000.

Pertambahan pendapatan pesawah menerusi program itu adalah berikutan daripada pengurangan penglibatan orang tengah sepanjang rantaian nilaian industri padi dan beras negara dengan memberi manfaat secara terus kepada pihak terlibat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, buat masa ini, program tersebut akan dilaksanakan di dua lokasi seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) iaitu Kampung Lat 1000, Simpang Empat di sini dan Kampung Tok Mengkula, Ayer Hitam, Kedah dengan membabitkan kawasan seluas 187 hektar.

“Pelaksanaan inisiatif ini adalah dengan kerjasama sebuah syarikat peneraju SMART SSB iaitu Padiberas Nasional Bhd (Bernas) selama empat musim penanaman padi bermula bulan Mei ini dan dijangka dituai pada penghujung Ogos depan,” katanya selepas pelancaran program berkenaan di Kampung Lat 1000, Simpang Empat di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan itu, Mohamad berkata, konsep yang diperkenalkan melalui inisiatif berkenaan adalah membabitkan pertanian pintar dengan penggunaan peralatan moden bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti hasil padi.

Katanya, komponen pertanian pintar ini juga membabitkan penggunaan jadual kerja ladang lebih tersusun, baja tambahan dan pematuhan waktu aplikasi baja serta racun yang lebih tepat bagi memastikan keberkesanan terhadap pokok-pokok padi secara optimum.

“Bernas akan bertindak sebagai pengurus projek dan penyedia perkhidmatan seperti penggunaan dron, jentanam, pembajak dan penyeliaan penggunaan baja serta racun mengikut pertanian kontrak bersama pesawah terlibat.

“Manakala MADA pula menetapkan lokasi pelaksanaan program ini berdasarkan keluasan projek setempat dan memastikan pesawah mampu memberi komitmen serta kerjasama bagi mematuhi pakej tanaman padi ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, impak pelaksanaan program ini juga dijangka dapat memberikan impak terhadap pengeluaran hasil padi kawasan MADA dengan peningkatan produktiviti sebanyak 62.6 peratus sekiranya pengeluaran hasil mencapai 10 tan metrik per hektar sepanjang pelaksanaan projek tersebut.

Tambahnya, inisiatif berkenaan turut diharap dapat meningkatkan hasil padi daripada 5.89 tan per hektar kepada lapan tan metrik per hektar selepas ini.

“Konsep pertanian pintar ini boleh diusahakan di kawasan yang luas dengan menggunakan tenaga kerja kecil dan kaedah itu yang kita cuba laksanakan sepertimana dibuat di negara China,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya