Profima selar penerbit aniaya kru penggambaran - Utusan Malaysia

Profima selar penerbit aniaya kru penggambaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menyelar mana-mana penerbit filem atau drama yang tanpa belas kasihan menganiaya kru penggambaran sehingga memaksa golongan tersebut bekerja melebihi tempoh yang sepatutnya.

Presidennya, Khalil Salleh, ketika ditemui pemberita baru-baru ini memaklumkan tindakan tersebut perlu dihentikan kerana bukan sahaja dianggap tidak berperikemanusiaan, malah menyalahi undang-undang.

“Antara aduan yang kami terima, ada (kru penggambaran) yang dipaksa bekerja tanpa henti selama tiga hari. Selain itu, ada juga penerbit yang culas membayar gaji kepada mereka.

“Lebih menyedihkan apabila muncul penerbit yang menghina kru penggambaran, meletakkan taraf golongan itu seolah-olah dibawa tapak kaki mereka.

“Saya telah melaporkan perkara ini kepada persatuan penerbit filem dan berharap tindakan tegas dapat diambil untuk memberi pengajaran kepada penerbit-penerbit yang melampau seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khalil juga berharap agar status kru penggambaran yang pada masa ini masih diletakkan sebagai pekerja bebas dapat diubah bagi memastikan kebajikan golongan itu lebih terjamin.

“Kami berharap agar kru penggambaran dapat diiktiraf sebagai pekerja. Cara itu sahajalah yang membolehkan mereka dilindungi di bawah akta.

“Dengan bantuan kesatuan, ini yang kami sedang usahakan. Kami bawa isu ini kepada perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil supaya beliau dapat cadangkan jalan penyelesaian,” tambahnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya