Produk kosmetik tiruan bernilai RM0.5 juta dirampas KPDN Selangor - Utusan Malaysia

Produk kosmetik tiruan bernilai RM0.5 juta dirampas KPDN Selangor

Produk tiruan
MOHD. Khairi Jamaludin (tiga dari kiri) menunjukkan beberapa produk penjagaan diri di Stor Ekshibit KPDN Selangor di Bukit Raja, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah rumah di Bandar Botanik, Klang yang dijadikan tempat simpanan produk berjenama popular tiruan berjumlah RM500,000 digempur pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, pada Isnin lalu.

Premis tersebut digempur dalam Operasi (Op) Tiru 5.0 selepas didapati menjual barangan sedemikian seperti produk penjagaan diri, minyak wangi, pewangi badan, losyen yang dijual pada harga RM15 iaitu lebih murah berbanding keluaran asli.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, rumah tersebut dikesan selepas KPDN menerima aduan daripada semua syarikat pemilik asal jenama produk terbabit serta maklumat orang awam.

“Seramai lapan anggota penguatkuasa dan beberapa orang wakil cap dagang menyerbu sebuah rumah dua tingkat yang dipercayai digunakan pihak sindiket sebagai pusat transit dalam operasi tersebut. Semasa operasi dijalankan, tiada anggota sindiket dan penjaga yang berada di premis berkenaan.

“Jadi, kami terpaksa memecahkan pintu pagar luar dan rumah itu untuk masuk ke dalam rumah,” katanya dalam sidang akhbar memaklumkan kejayaan operasi itu di Stor Ekshibit KPDN Selangor, Bukit Raja, hari ini.

Beliau menambah, ketika serbuan pihaknya menemui kota-kotak berwarna coklat yang berisi semua produk tersebut serta dokumen perniagaan milik sindiket seperti surat, invois, resit dan lain-lain lagi.

“Dipercayai sindiket mengimport kesemua produk ini dari negara luar sebelum menjualnya kepada pelanggan. Mereka akan mengepos produk ini kepada pelanggan yang telah membuat tempahan,” ujarnya.

Kata Mohd. Khairi, KPDN kini sedang memburu ketua serta ahli sindiket berkenaan bagi menyelesaikan kes yang disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan menjual barang cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya