PRN: PH-UMNO Pulau Pinang setuju tidak bertembung sesama sendiri - Utusan Malaysia

PRN: PH-UMNO Pulau Pinang setuju tidak bertembung sesama sendiri

PEMIMPIN PH dan UMNO Pulau Pinang buat pertama kali bertemu secara rasmi semalam bagi membincangkan mengenai kerjasama menjelang PRN negeri itu tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) dan UMNO Pulau Pinang bersetuju untuk tidak bertembung sesama sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu bagi memastikan kemenangan besar kepada calon masing-masing.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, persetujuan yang dicapai itu merupakan hasil pertemuan yang berlangsung semalam antara enam wakil daripada PH dan enam wakil UMNO negeri.

”Petang semalam berlaku satu pertemuan bersejarah antara pemimpin PH dan UMNO Pulau Pinang kerana kita tidak pernah bertemu secara rasmi dan rundingan berlangsung selama satu jam dalam situasi yang aman.

”Kami telah mencapai satu persetujuan untuk kejayaan PRN akan datang yang mana kami tidak akan bertembung sesama sendiri untuk memastikan kemenangan dalam PRN,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada pilihan raya umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi termasuk kerusi-kerusi DUN daripada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala Pas mempunyai satu kerusi, Penaga.

Pada pertemuan semalam, UMNO diwakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Timbalan Pengerusi, Datuk Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin; Setiausaha, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, Bendahari, Datuk Jeffri Salim; Setiausaha Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar dan Pengerusi Jabatan Pilihanraya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

PH pula diwakili Kon Yeow selaku Pengerusi PH negeri; Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mewakili Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pengerusi 2, Datuk Dr. Roslan Ahmad ; Setiausaha, Lim Hui Ying; Bendahari, Goh Choon Aik dan Pengarah Komunikasi dan Penerangan, Dr. Zaidi Zakaria.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, perbincangan semalam yang merupakan pusingan pertama adalah berkisar kepada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang merupakan kerusi majoriti Melayu di negeri ini.

”Apa yang diminta pada peringkat ini kita masih belum sedia untuk umumkan kerana rundingan masih berlangsung.

”Kita memang tegaskan prinsip yang ditetapkan oleh pimpinan Pusat bahawa penyandang bertanding di kerusi sedia ada, namun kedua-dua pihak setuju untuk melihat kriteria-kriteria lain apabila keadaan sesuai nanti, keputusan juga belum dimuktamad,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua pihak juga akan membawa hasil pertemuan semalam kepada pimpinan Pusat masing-masing untuk diperhalusi.

Ujarnya, pertemuan antara pemimpin PH dan UMNO negeri akan diteruskan sehingga persefahaman dicapai antara kedua-dua pihak berhubung isu-isu berkaitan PRN. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya